LONDON 21 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menonjolkan “defisit keyakinan” antara dunia Barat dan ekonomi sedang pesat membangun, atau Asia Tenggara, disebabkan sikap hipokrit mereka dalam perkara geopolitik tertentu.
Dalam temu bual dengan Financial Times yang berpangkalan di UK, Anwar merujuk kepada sokongan dunia Barat terhadap serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
"Terdapat defisit keyakinan dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun kerana kuasa besar tidak mematuhi peraturan asas undang-undang antarabangsa," katanya dalam wawancara tersebut.
Begitu juga di Asia Tenggara, Anwar berkata Barat telah bercakap besar tentang demokrasi dan reformasi tetapi tidak melakukan apa-apa untuk membantu.
“Tiada apa-apa yang dilakukan untuk membantu [rantau]. Hanya ada penglibatan dalam perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.
Anwar berkata bahawa Amerika Syarikat telah kehilangan kedudukan di rantau ini berbanding China, menunjukkan bahawa pandangannya mungkin telah beralih ke Eropah kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Kami berhubung baik dengan AS tetapi negara kuasa besar dunia itu tidak berhubung dengan rantau ini secara aktif seperti yang dilakukan pada masa lalu. China dalam erti kata itu mengambil sikap yang lebih positif,” katanya dilaporkan sambil merujuk pegawai kanan China yang melawat Malaysia sejak kebelakangan ini.
“Mereka memberikan akses yang lebih baik, anda boleh berjumpa dengan mereka dengan mudah. Kami hantar menteri ke sana, mereka hantar menteri.”
Walaupun begitu, Anwar berkata AS masih menjadi pelabur yang dihargai di Malaysia, terutamanya dalam industri semikonduktor.
"Adalah lebih baik bagi ekonomi yang lebih kecil seperti Malaysia untuk melanjutkan [hubungannya] dengan China," katanya dipetik berkata.
"Satu-satunya isu yang dipertikaikan ialah Laut China Selatan [di mana China mempunyai tuntutan wilayah yang bercanggah dengan beberapa negara anggota Asean] di mana kita terlibat dengan baik dan mengambil kedudukan yang kukuh."
Anwar juga berkata di bawah kepengerusian Malaysia, Asean tidak semestinya perlu berkonfrontasi dengan China — kerana blok itu memerlukan kuasa besar itu sebagai sekutu.
“Kenapa kita perlu tegar? Kita tidak bersetuju dengan banyak isu dasar luar dengan AS tetapi kita mahu mereka menjadi sekutu penting.
"Begitu juga dengan China, saya tidak fikir ia adalah satu perkara yang sukar menentang jiran yang kuat dan besar," katanya lagi. - DagangNews.com