Apa helikopter pengganti sesuai jika Mindef batal sewa Black Hawk? | DagangNews Skip to main content

Apa helikopter pengganti sesuai jika Mindef batal sewa Black Hawk?

Helikopter Black Hawk mempunyai kepelbagaian fungsi yang diperlukan sesebuah pasukan tentera.
Fokus Berita oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Okt - Rabu ini menjadi penentu pada keputusan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk membatalkan kontrak menyewa empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat.

 

Bermakna, pihak syarikat yang diberikan kontrak membekalkan pesawat tersebut hanya mempunyai baki tiga hari untuk menghantar pesawat sepertimana yang dijanjikan.

 

Jika pun hanya sebuah helikopter Black Hawk berjaya diserahkan kepada Tentera Darat, isu kelewatan yang berlaku hampir setahun lalu dikira selesai.

 

 

Sekiranya gagal maka Mindef perlu berpegang kepada keputusan membatalkan kontrak sewaan dan mencari helikopter pengganti.

 

Helikopter

 

Helikopter
Helikopter merupakan keperluan utama dalam atur gerak udara Tentera Darat.

 

Bagaimana pun, ini bermakna proses mendapatkan helikopter pengganti Nuri kepada Tentera Darat secara sewaan akan kembali pada fasa 1 iaitu menawarkan kontrak kepada lain-lain syarikat pembekal.

 

Dalam keadaan tertentu, kontrak baharu boleh diluluskan segera sekiranya keperluan helikopter ini amat mendesak, jadi Tentera Darat tidak perlu menunggu lama mendapatkan pesawat pengganti.

 

Cuma isunya, apakah helikopter yang ditawarkan oleh syarikat baharu nanti masih lagi Black Hawk atau jenis lain?

 

Dalam pasaran memang terdapat banyak helikopter dalam kategori saiz sederhana, malah tidak menjadi masalah kerana pasti ada banyak syarikat lain mengidamkan kontrak sewaan jika Black Hawk dibatalkan.

 

Helikopter
Helikopter seperti Black Hawk sesuai untuk digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan seperti semasa bencana.

 

Ini termasuklah pembekal helikopter luar negara yang menjalin kerjasama dengan rakan tempatan.

 

Bezanya, kebolehan yang ada pada pesawat selain Black Hawk dikatakan tidak setanding.

 

Ini kerana apa yang difahamkan Tentera Darat menginginkan Black Hawk kerana menepati dengan kehendak dan operasi yang dilaksanakan.

 

Helikopter Black Hawk terkenal dengan kepelbagaian fungsi dalam kedua-dua misi pertempuran dan sokongan udara.

 

Black Hawk juga merupakan helikopter saiz sederhana yang paling banyak digunakan di dunia.

 

Helikopter
Helikopter AW139 TLDM.

 

Helikopter
Helikopter Leonardo AW149.

 

Helikopter
TUDM menyewa 4 helikopter AW139 sebagai pesawat utiliti.

 

Tambahan pula, Tentera Darat khususnya Briged Para sejak beberapa tahun kebelakangan ini cenderung melakukan latihan bersama dengan tentera negara sahabat yang mengoperasikan helikopter Black Hawk.

 

Sepertimana ditegaskan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, pihaknya terbuka untuk menerima sebarang pilihan berkait perolehan helikopter baharu.

 

Bagaimanapun tegas beliau, pilihan untuk helikopter seharusnya mengikut kriteria yang sudah ditetapkan.

 

Helikopter itu juga mestilah mempunyai spesifikasi ketenteraan dan mematuhi Keperluan Kakitangan Am tentera dan boleh dihantar dalam tempoh singkat.

 

Keputusan menyewa 4 buah helikopter Black Hawk dilihat sebagai penutup jurang (stop-gap measure) selepas helikopter Nuri ditamatkan tiga tahun lalu.

 

Helikopter

 

Helikopter
Black Hawk turut digunakan dalam misi tentera pengaman PBB.

 

Pilihan ini kerana kekangan kewangan negara yang menyaksikan beberapa perolehan tertangguh dan kelengkapan yang sepatutnya diganti masih lagi beroperasi.

 

Black Hawk akan disewa selama 5 tahun bagi memberi cukup masa kepada Tentera Darat memutuskan helikopter sebenar yang hendak dibeli.

 

Realitinya juga, ketiadaan Nuri dalam Pasukan Udara Tentera Darat memberi beban tambahan kepada helikopter lain.

 

Pada masa sama skuadron helikopter pengangkut pelbagai peranan adalah tulang belakang operasi Tentera Darat terutamanya sebagai kenderaan udara dan menghantar bekalan ke barisan hadapan.

 

Adalah lebih baik helikopter yang dikehendaki Tentera Darat hendaklah mengikut apa yang diinginkan kerana pasukan tersebut lebih mengetahui apa yang diperlukan. - DagangNews.com