Apex Equity beli bangunan pejabat pada harga RM50 juta di Bangsar South, Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Apex Equity beli bangunan pejabat pada harga RM50 juta di Bangsar South, Kuala Lumpur

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis - Syarikat pembrokeran saham, pembangunan hartanah dan perkhidmatan pinjaman wang, Apex Equity Holdings Bhd membeli bangunan pejabat butik di Bangsar South, Kuala Lumpur dengan harga RM50 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Apex berkata, unit milik penuhnya, Apex Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Noah Foundation bagi membeli bangunan kira-kira 54,876 kaki persegi itu, dengan harga RM911.15 bagi setiap kaki persegi.

 

"Bangunan itu, yang kini kosong, akan berfungsi sebagai pejabat Kumpulan Apex dan anak-anak syarikatnya.

 

"Sebarang lantai yang masih belum berpenghuni akan disediakan untuk dipajak," katanya. 

 

Apex berkata, pusat perniagaan semasanya di Petaling Jaya kini di bawah perjanjian pajakan yang akan tamat tempoh pada suku kedua 2026, memerlukan keputusan mengenai penempatan semula atau pembaharuan. 

 

"Cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada syarikat untuk meningkatkan kestabilan operasi syarikat, meraih potensi peningkatan modal hartanah dalam jangka panjang dan menggalakkan rancangan pertumbuhan syarikat. 

 

"Menubuhkan ibu pejabat tetap di hab perniagaan berprestij itu kan mengukuhkan lagi keterlihatan jenama Apex Group dan terus memberikan keyakinan kepada pihak berkepentingan," katanya.

 


Pengambilalihan itu, yang dijadualkan selesai selepas tahun kewangan syarikat berakhir 2025, akan dibiayai 80% (RM40 juta) oleh pinjaman bank dan 20% (RM10 juta) melalui dana yang dijana secara dalaman.

 

Sementara itu, menurut penyata kewangan syarikat pada akhir September, Apex mempunyai wang tunai dan baki bank sebanyak RM26.25 juta, manakala pinjaman jangka pendeknya berjumlah RM42.05 juta.  - DagangNews.com