ATM jadi pengguna baharu dron taktikal FlyEye buatan Poland | DagangNews Skip to main content

ATM jadi pengguna baharu dron taktikal FlyEye buatan Poland

Dron taktikal FlyEye boleh menjadi mata dan telinga ATM semasa operasi.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 6 Jan - Operasi pengawasan dan pemantauan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipertingkatkan apabila menjadi pengguna baharu sistem udara tanpa pemandu FlyEye buatan Poland.

 

Dron FlyEye diguna secara meluas oleh tentera Poland, malah telah mempamerkan keupayaan yang baik dalam perang di Ukraine.

 

Penghantaran pertama dron tersebut diumumkan syarikat berkenaan, WB Group dalam satu kenyataan menjadikan ATM sebagai pengguna terbaharu.

 

 

Sebelum ini, ATM telah menghantar sekumpulan pegawai dan anggota mengikuti latihan dalam operasi dron di fasiliti di Silesia, Poland.

 

Pesawat
Peralatan lengkap dron FlyEye.

 

Menurut kenyataan itu, drone FlyEye yang dibangunkan oleh Flytronic iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Gliwice telah diguna hampir 15 tahun. 

 

“FlyEye ialah dron taktikal ringan yang direka untuk misi peninjauan, pengawasan dan menghantar maklumat di medan tempur.

 

“Dengan berat kira-kira 12 kilogram, ia boleh diangkut dengan mudah dalam dua beg galas, menjadikannya sesuai untuk operasi di kawasan yang mencabar. 

 

“Dron ini tidak memerlukan peralatan tambahan untuk penggunaan kerana ia dilancarkan secara manual dan mendarat menggunakan gabungan payung terjun dan penerbangan meluncur, meminimumkan risiko kerosakan,” ujar kenyataan tersebut.

 

 

Pesawat
Penggunaan dron taktikal telah lama menjadi kemestian dalam operasi ketenteraan hari ini.

 

Pesawat

 

Bahagian bawah dron dilengkapi dengan sensor dan kamera inframerah bagi tugas pengawasan yang optimum dalam semua keadaan.

 

Sistem pendorongnya terdiri daripada motor elektrik senyap dikuasakan oleh bateri litium-polimer yang direka untuk meminimumkan pengesanan semasa misi.

 

Dengan saiz lebar sayap 3.6 meter (m), panjang 1.8m dan kelajuan maksimum 120km/j, ia boleh mencapai ketinggian sehingga 3,000 meter di atas paras laut dengan tempoh penerbangan melebihi 2.5 jam. 

 

Dron ini boleh beroperasi dengan jarak penghantaran dalam talian sejauh 180km.

 

 

Pesawat

 

WB Group yang ditubuhkan pada 1997 itu mula bertapak di Malaysia sejak 2008 menerusi pejabat operasinya di Kuala Lumpur.

 

Sepanjang tempoh itu, WB Group giat mengetangahkan pelbagai produk pertahanan yang bersesuaian dengan keperluan ATM.

 

Poland mula menjadi rakan pertahanan Malaysia menerusi pembelian kereta kebal PT-91M Pendekar yang dibuat pada tahun 2003. - DagangNews.com