Bank Pembangunan Sabah luluskan cadangan penyelesaian bernilai RM879 juta daripada jumlah NPL sebanyak RM5 bilion | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan Sabah luluskan cadangan penyelesaian bernilai RM879 juta daripada jumlah NPL sebanyak RM5 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Okt - Bank Pembangunan Sabah Bhd (SDB) pada hari Rabu mengumumkan, lembaga pengarahnya telah meluluskan cadangan penyelesaian bernilai RM879 juta daripada jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) sebanyak RM5 bilion.

 

Bank itu juga dijangka memuktamadkan cadangan penyelesaian tambahan menjelang akhir tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM1 bilion, jelas SDB dalam satu kenyataan.

 

Susulan itu, SDB menyatakan keyakinan bahawa keseluruhan proses pemulihan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

 

"Sejak lembaga dan pengurusan baharu mengambil alih pada separuh kedua 2023, tindakan undang-undang agresif telah diambil terhadap peminjam dan penjamin NPL, termasuk pelantikan penerima dan pengurus," jelas kenyataan berkenaan.

 

SDB memaklumkan, tindakan undang-undang telah diambil terhadap semua NPL dan mencapai hasil positif selepas satu pasukan pemulihan baharu ditubuhkan pada September 2023.

 

"Hasil daripada pendirian agresif yang diambil oleh lembaga SDB mengenai pemulihan aset pinjaman bermasalahnya, beberapa peminjam telah tampil dengan cadangan penyelesaian mereka dan bekerjasama dengan SDB untuk menyelesaikan pinjaman tertunggak mereka," tambah kenyataan itu. 

 

SDB juga optimis bahawa momentum kukuh itu akan berterusan memandangkan RM5 bilion NPL tersebut dijamin terhadap aset yang ketara. 

 

Untuk rekod, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada bulan Julai mendedahkan bahawa NPL SDB adalah sebanyak RM5 bilion atau 75 peratus daripada jumlah portfolio pinjaman sebanyak RM6.6 bilion pada akhir Mei.

 

Masidi dipetik sebagai berkata, SDB mempunyai kualiti aset pinjaman yang buruk dan terkenal dalam kalangan peminjam sebagai pilihan terakhir untuk membiayai projek yang tidak akan dibiayai oleh bank lain. - DagangNews.com