KUALA LUMPUR 24 Okt - Leong Hup International Bhd melantik Chong Choon Yeng sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharunya, berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Chong, 53, pada 18 Oktober lalu, meninggalkan jawatan sama di Tan Chong Motor Holdings Bhd selepas empat tahun bersama syarikat pemegang francais kenderaan Nissan tersebut.
Beliau mengambil alih jawatan Chew Eng Loke, 55, yang pada 1 Jan lepas menyandang jawatan baharunya sebagai penasihat kumpulan di Leong Hup, kata pengeluar makanan ayam, telur dan ternakan itu dalam satu kenyataan.
“Chong mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang amalan pengurusan kewangan merangkumi semua aspek perakaunan dan kewangan,” kata Leong Hup.
Pengalaman beliau termasuk pengurusan perbendaharaan, perancangan dan pematuhan cukai, penstrukturan semula korporat, perancangan strategik, dan perhubungan pelabur dalam pelbagai industri dengan syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tersenarai awam tempatan.
Beliau sebelum ini bekerja dengan Carlsberg Brewery Malaysia Bhd, Carlsberg Great China dan Hong Leong Industries Bhd. - DagangNews.com