KUALA LUMPUR 2 Dis - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus peka terhadap risiko pelaburan syarikat permulaan selepas belajar dari kerugian FashionValet, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, GLIC seperti Khazanah dan PNB akan terus memantau dan menambah baik tadbir urus dalam proses penilaian pelaburan.
Dalam pada itu, beliau menekankan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).
Akta itu mengandungi komponen utama pengurusan dasar fiskal, seperti pengurusan risiko fiskal yang lebih cekap, merupakan langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah meningkatkan disiplin fiskal dan memastikan kestabilan makroekonomi.
“Akta ini antara lain turut meletakkan sasaran jaminan kewangan tidak melebihi 25% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi mengekang kenaikan liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan.
"Kami akan memastikan pengurusan risiko yang berkesan, dengan prinsip akauntabiliti dalam proses pelaburan melalui penilaian terperinci dan usaha wajar, termasuk pertimbangan pelaburan yang rasional, penilaian dan pulangan yang munasabah," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Judiet Fidilis @ Noraini Idris mengenai prinsip tanggungjawab fiskal seperti yang digariskan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, dan bagaimana ini boleh menambah baik rasionalisasi pelaburan wang awam oleh agensi kerajaan.
Amir Hamzah juga berkata, kerajaan sedang melaksanakan langkah untuk mereformasikan institusi dan tadbir urus bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan dalam usaha untuk memastikan pelaburan memberikan nilai terbaik.
"Antara langkah yang telah diperkenalkan dan akan dilaksanakan termasuk pengenalan garis panduan pengurusan dan tadbir urus agensi berkanun persekutuan," katanya. - DagangNews.com