Belanjawan 2025: Dana pertahanan kecil merencatkan program pemodenan ATM | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: Dana pertahanan kecil merencatkan program pemodenan ATM

Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Pembentangan sesi Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, menarik perhatian semua pihak untuk melihat hala tuju pembangunan yang bakal dirancang, tidak terkecuali aspek pertahanan.

 

Bagaimana pun, melihat pada siri-siri belanjawan yang lepas, peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) kecil.

 

 

Keadaan ini mendukacitakan kerana pada masa negara berdepan dengan beberapa isu berkaitan keselamatan termasuk isu di Laut China Selatan, tetapi bajet pertahanan kecil menyekat rancangan pemodenan sepatutnya.

 

Angka belanjawan pertahanan kecil ini juga memperlihatkan kerajaan, walaupun bertukar parti pemerintah kurang memberi penekanan terhadap keperluan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Bajet terhad ini juga tidak menyokong visi pemodenan ATM menyebabkan banyak senarai hasrat tertangguh sehingga bertahun-tahun.

 

Faktor utama selalunya adalah had fiskal apabila kerajaan dilihat terlalu berkira untuk membiayai pertahanan dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di tempat lain.

 

Walaupun sering kali enggan dibandingkan, tetapi negara-negara jiran serantau sebaliknya kekal meletakkan fokus kepada pertahanan bagi memastikan kekuatan angkatan tentera mereka sentiasa seimbang.

 

Filipina misalnya yang 10 tahun dulu mempunyai pertahanan terkebelakang berbanding Malaysia kini menapak ke hadapan dengan melaksanakan pembelian aset-aset moden secara berperingkat-peringkat.

 

Seperti Malaysia, negara pulau itu juga mempunyai rancangan pemodenan pertahanan setiap lima tahun yang mana seboleh mungkin ia dilakukan walaupun bajet pertahanan terhad.

 

Pesawat
TLDM berdepan dengan isu kapal-kapal perang usang.

 

Pesawat
Pencerobohan nelayan asing antara isu keselamatan yang dihadapi negara - gambar hiasan.

 

Dalam kita bergelut untuk menggantikan helikopter Sikorsky Nuri, Filipina sebaliknya membuat pembelian besar sebanyak 32 buah helikopter Sikorsky S-70i Black Hawk buatan Poland.

 

Tahun lalu Mindef menerima peruntukan RM19.73 bilion, tetapi peruntukan untuk gaji dan elaun untuk 2024 berjumlah RM8.2 bilion, iaitu lebih sedikit 40 peratus daripada jumlah belanjawan pertahanan. 

 

Berbeza dengan peruntukan untuk perolehan berjumlah RM5.71 bilion, peningkatan sedikit daripada peruntukan 2023 sebanyak RM5.04 bilion. 

 

Mengambil kira kejatuhan nilai ringgit dan hakikat bahawa Malaysia membeli kelengkapan pertahanan dari luar, nilai pembiayaan ini sebenarnya kecil.

 

Realitinya juga peruntukan yang diterima bukanlah petunjuk tepat mengenai pembiayaan yang tersedia untuk perolehan pertahanan.

 

Pesawat
Sistem M109 SPH yang sepatutnya dibeli Tentera Darat 6 tahun lalu.

 

Pesawat
Sistem SPH Caesar.

 

Peruntukan itu termasuk bayaran progresif berjadual untuk program yang sedang berjalan dan bayaran untuk kontrak berjadual seperti pembelian 18 pesawat tempur ringan KAI FA-50 dari Korea Selatan.

 

Bayaran progresif pula untuk pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) KD Maharaja Lela yang bermasalah dan pembayaran untuk penambahbaikan keupayaan berjadual dan berterusan pesawat pengangkutan Airbus A400M.

 

 

Pertukaran kerajaan

 

Faktor lain yang turut menghalang pembangunan pertahanan negara ialah pertukaran kerajaan sejak 2018 menyaksikan Malaysia melalui empat Perdana Menteri.

 

Situasi ini menyaksikan beberapa rancang tentang pembelian tidak diteruskan, bertukar atau memberi fokus kepada perkara lain.

 

Ditambah dengan keperluan untuk memulihkan ekonomi yang perlahan, kerajaan masih bergelut dengan proses pemulihan selepas pandemik Covid-19,mengurangkan perbelanjaan dan mengurangkan defisit negara.

 

Bagi memperincikan tentang keperluan ATM, artikel ini melihat satu persatu rancangan pembelian yang dirancang dan masih tertangguh disebabkan bajet terhad.

 

Keperluan ATM

 

Fokus utama Tentera Darat adalah bagi program penggantian kenderaan perisai Radpanzer Condor 4x4 yang dilihat masih tidak menentu sejak enam tahun lalu.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pesawat

Sebelum ini ada rancangan agar sebahagian Condor melalui proses rombak pulih untuk digunakan kembali yang mana kosnya lebih rendah berbanding membeli baharu.

 

Kaedah ini melibatkan penggantian sistem transmisi dan enjin yang lebih baik serta menggantikan sistem persenjataan.

 

Sejumlah Condor juga boleh dijadikan sebagai kenderaan pembawa bekalan bagi keperluan rejimen tank dan mekanise.

 

Cadangan ini yang mendapat lampu hijau Tentera Darat tidak diteruskan, sebaliknya pembelian baharu akan dibuat.

 

Tentera Darat juga sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk perolehan 136 Kenderaan Berperisai Mobiliti Tinggi (HMAV) menggantikan Radpanzer Condor yang digunakan oleh dua rejimen perisai Tentera Darat walaupun keperluan sebenar adalah untuk 224 kenderaan.

 

Pembelian sistem meriam howitzer mudah gerak (SPH) yang tertangguh sejak 28 tahun kini mula menjadi perhatian.

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal

 

Kerajaan pada 2018 ketika itu bersetuju untuk perolehan 29 buat sistem M109A5 155mm SPH terpakai Amerika Syarikat termasuk 10 yang akan dijadikan sebagai alat ganti.

 

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

 

Dua tahun lalu, kerajaan dikatakan telah pun mengeluarkan surat niat (LOI) untuk membeli 18 unit sistem artileri Yavuz 155mm SPH sebelum ia ditangguhkan.

 

Pemilihan Yavuz telah menukar cadangan Tentera Darat yang sebenarnya lebih gemar pada SPH berunut tetapi diganti kepada jenis kenderaan berada.

 

Terbaru, Mindef dipercayai akan memilih sistem EVA M2 155mm sebagai calon SPH Tentera Darat yang dikatakan menelan kos kira-kira RM800 bilion.

 

Pesawat

 

Masih menjadi perhatian ialah penggunaan 4 buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk secara sewaan tahun ini. 

 

Kontrak bernilai RM187 juta ditandatangani dengan Aerotree Services semasa Pameran Aeroangkasa dan Mairitm Maritim dan Langkawi (LIMA) 2023. 

 

Helikopter Black Hawk membolehkan Tentera Darat membina kemahiran dan keupayaan sebelum mengendalikan helikopter sebenar yang akan dibeli.

 

Tentera Darat merancang mendapatkan 12 buah helikopter Black Hawk pada masa hadapan bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.

 

Helikopter jenis ini menjadi pilihan kerana kesesuaian dengan corak operasi, tambahan pula Tentera Darat telah biasa melaksanakan latihan menggunakan Black Hawk bersama negara-negara sahabat.

 

TLDM dan TUDM 

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menghadapi masalah berikutan kapal-kapal usang berusia lebih 40 tahun yang perlu diganti.

 

Insiden kapal peronda KD Pendekar yang tenggelam bulan lalu memburukkan lagi realiti angkatan laut negara.

 

Pada masa sama, isu kelewatan LCS terus membayangi TLDM. Kelewatan dan masalah program ini hanya melegakan apabila kapal pertama, KD Maharaja Lela memulakan ujian di laut dijangka pada November dan dioperasikan dua tahun kemudian.

 

Keperluan mendesak lain TLDM ialah pembelian 6 helikopter antikapal selam menggantikan helikopter Super Lynx.

 

TLDM juga perlu menggantikan sebuah helikopter AW139 HOM yang terbabit dalam nahas April lalu. Kini, ada cadangan untuk TLDM menyewa 3 buah helikopter jenis sama.

 

Helikopter

 

Pesawat

 

Helikopter

 

Tumpuan perolehan TUDM kini adalah mendapatkan 12 helikopter saiz sederhana menggantikan Sikorsky S-61A Nuri.

 

Pertimbangan belanjawan menghasilkan langkah sementara apabila Mindef menyewa 4 buah helikopter AW139 pada 2022.

 

Terbaharu, Mindef memutuskan untuk menyewa helikopter Leonardo AW149 sebagai pengganti Nuri. Keputusan ini bagaimana pun mengundang persoalan tentang kos yang bakal ditanggung.

 

Memandangkan TUDM telah mengoperasikan helikopter EC725 AP jadi timbul tanda tanya mengapa bukan helikopter jenis sama menjadi pilihan.

 

Helikopter EC725AP atau varian terbaharu H225M dilihat lebih sesuai selain pengalaman kru dan syarikat penyelenggaraan swasta yang terlibat dalam program tersebut.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pesawat

 

TUDM juga terpaksa menunggu sehingga tahun 2030 bagi mencari calon pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA). Faktor kos yang besar masih menjadi isu utama.

 

Sehingga tempoh itu TUDM terpaksa bergantung kepada 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM dan 8 F/A-18D Hornet.

 

Tentang Hornet terpakai Kuwait, ia sesuatu yang belum pasti selagi tiada rundingan rasmi tentang pembelian berkenaan.

 

Mindef sepatutnya boleh memulakan proses pembelian batch kedua pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Selatan agar dapat mengimbangi keperluan yang dikehendaki. - DagangNews.com