BIMB Securities kembali membuat liputan ke atas Malaysian Pacific Industries dengan saranan 'beli', TP RM40.36 | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities kembali membuat liputan ke atas Malaysian Pacific Industries dengan saranan 'beli', TP RM40.36

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - BIMB Securities kembali membuat liputan ke atas Malaysian Pacific Industries Bhd dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM40.36 iaitu peningkatan 50% daripada harga saham semasanya, didorong oleh prospek pertumbuhan yang kukuh.

 

Harga sasaran itu mencadangkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 38 kali, berdasarkan pendapatan sesaham FY25 sebanyak 106.2 sen.

 

"Kami percaya ia adalah adil memandangkan potensi pertumbuhan pendapatannya yang kukuh, terutama dalam sektor automotif dan perindustrian, ditambah dengan kelebihan daya saingnya berbanding rakan setaranya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, saham kumpulan itu didagangkan pada diskaun yang ketara walaupun prospek pertumbuhannya kukuh.

 

Pada FY21, firma penyelidikan itu menyatakan, penilaian PER MPI melonjak melepasi purata tiga tahunnya sebanyak 38x, setelah meningkat daripada 17 kali ganda pada awal tahun, didorong oleh prestasi keuntungan bersih teras di tengah-tengah permintaan tinggi untuk produk elektrik dan elektronik.

 

Segmen utama seperti telefon pintar, computer peribadi, perkhidmatan awan dan pusat data berkembang pesat semasa penutupan COVID-19 kerana barangan elektronik menjadi penting.

 

BIMB Scurities berkata, prestasi kewangannya yang kukuh pada FY21-FY22 disokong pertumbuhan hasil ketara dalam segmen perindustrian dan automotif.

 

"Peningkatan permintaan untuk perkomputeran wan dan jualan kenderaan lektrik (EV) dirangsang oleh pelbagai insentif kerajaan, menyumbang kepada pertumbuhan ini.

 

"Sementara itu, segmen automotif dan perindustrian dijangka terus memacu pendapatan kumpulan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bersedia untuk mendapat manfaat daripada permintaan global yang kukuh untuk EV dan pengembangan pusat data dan Industri 4.0.

 

Katanya, penerokaan strategik MPI ke dalam teknologi baru muncul mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam industri semikonduktor.

 

"Kami percaya MPI telah meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam industri semikonduktor dengan terus melabur dalam teknologi pembungkusan termaju iaitu Gallium Nitride (GaN) dan Silicon Carbide (SiC) dalam segmen elektrifikasi industri dan automotif," katanya.

 

MPI telah mendedikasikan ruang pembuatan dan menyasarkan untuk memulakan pengeluaran volum tinggi pada FY25 bagi memanfaatkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE), automasi industri dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

BIMB Securities menjangkakan keuntungan teras MPI berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun tiga tahun sebanyak 20% daripada RM189.9 juta pada FY24 kepada RM331.2 juta pada FY27. - DagangNews.com