Rakuten Trade menilai harga saham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 sen | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade menilai harga saham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Rakuten Trade memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen dan alat ganti automotif, KHPT Holdings Bhd pada 28 sen sesaham.

 

Penilaian dengan penarafan 'beli' adalah lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham KHPT Holdings yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2024.

 

"Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 15 kali ganda kepada EPS 2025 selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor automotive," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyerlah dalam industri alat ganti dan komponen automotif domestik yang disokong oleh asas kukuh dan kepakaran hampir 30 tahun.

 

Di samping itu, kedudukannya diperkukuh daripada hubungan kukuhnya dengan dua jenama automotif utama Malaysia iaitu Proton dan Perodua yang masing-masing menyumbang 41.3% dan 18.9% daripada jumlah volum industri (TIV).

 

"Kepakaran rumusan pembuatan dalaman kumpulan serta keupayaan kejuruteraan proses memberikan kelebihan berbanding pesaingnya, membolehkannya menghasilkan alat ganti dan komponen automotif yang tepat dengan cekap sambil mengekalkan daya saing kos.

 

"Strategi pertumbuhan masa depan KHPT Holdings termasuk pengembangan kapasiti pembuatannya dengan menubuhkan barisan pengeluaran bahagian badan automatik baharu, menggabungkan teknologi automasi bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

"Pengembangan ini dijangka mengurangkan keperluan tenaga kerja manual dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 83.3% atau 2.26 juta keping," katanya.

 

Rakuten Trade meramalkan pendapatan kumpulan ehingga FY26 berkembang sebanyak 7% disokong permintaan kukuh bagi segmen mampu milik, pengembangan kapasiti pembuatan secara beransur-ansur, pemulihan ekonomi dan peningkatan pendapatan boleh guna.

 

Sementara itu, kumpulan itu kini berada dalam kedudukan tunai bersih dan dijangka berterusan selepas IPO.- DagangNews.com