KUALA LUMPUR 20 Nov - BMW Group Malaysia sedang bekerjasama dengan kerajaan dan rakan tempatan mengenai rancangan untuk memasang unit kenderaan elektrik (EV) secara tempatan, selaras dengan pengecualian cukai untuk pemilik EV sehingga akhir 2025.
Naib Presiden Kanan Jualan BMW Group bagi rantau Asia Pasifik, Eropah Timur, Asia Barat dan Afrika, Jean-Philippe Parain bagaimanapun berkata, pelan tersebut memerlukan perancangan jangka panjang sebelum dilaksanakan.
"Berdasarkan pengalaman saya dengan syarikat yang beroperasi di banyak negara, apabila kerajaan mengurangkan subsidi, permintaan terhadap EV turut merosot.
"Contohnya di Korea Selatan. Sebaik subsidi dikurangkan, bilangan orang yang memilih EV juga menurun, dan situasi yang sama dapat dilihat di Eropah," katanya seperti laporan The Star.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini semasa Sidang Meja Bulat Strategi Jenama BMW Group Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Benjamin Nagel berkata, syarikat kini sedang bekerjasama dengan entiti kerajaan dan rakan tempatan untuk membincangkan pengitaran semula bateri EV.
"Sebagai syarikat yang benar-benar menekankan kelestarian, kami sedang melihat isu ini untuk bekerjasama mengenainya," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, BMW Group Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu telah menjual lebih 8,700 kenderaan pada suku ketiga tahun ini.
Ia termasuk lebih 1,600 model elektrik sepenuhnya, yang menyumbang 19 peratus daripada jumlah penghantaran keseluruhan.
Selain itu, di peringkat global, BMW Group juga mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa dalam segmen kenderaan elektriknya walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
"Antara Januari dan September 2024, syarikat mencatatkan kenaikan 19.1% dalam jualan kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV), dengan lebih daripada 300,000 unit kepada pelanggan di seluruh dunia," tambahnya. - DagangNews.com