Bolehkah Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali beri saingan terhadap LIMA? | DagangNews Skip to main content

Bolehkah Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali beri saingan terhadap LIMA?

BIAS berpotensi menjadi pameran udara terpenting di rantau ini.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali 2024 (Bali International Air Show - BIAS) yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Bali, Indonesia melabuhkan tirainya minggu lalu.

 

BIAS dianjurkan oleh Kementerian Koordinator Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Kementerian Pengangkutan Indonesia dan Angkatan Udara Indonesia (TNI AU).

 

Acara ini juga disokong oleh Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, AirNav Indonesia serta Lapangan Terbang Angkasa Pura.

 

 

Kali terakhir ia diadakan kira-kira 30 tahun lalu, justeru tempoh masa yang lama itu dilihat sebagai cabaran tersendiri pada BIAS.

 

Pesawat
Tim aerobatik Jupiter.

 

Pesawat
Tim Neptune.

 

Acara itu menarik penyertaan pegawai pertahanan, menteri dan pemimpin industri lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina.

 

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian meliputi ruang pameran seluas 78,000 meter persegi selain kawasan paparan pesawat statik.

 

Antaranya Airbus, Bell Helicopters, Boeing, Brahmos, Dassault Aviation, Embraer, Garuda Group, Leonardo, Lion Air, MBDA, PT Dirgantara Indonesia, Textron Aviation dan Thales.

 

Penganjuran BIAS menjadikan ia sebagai pameran aeroangkasa yang ketiga di rantau ini selepas Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Pertunjukkan Udara Singapura (Singapore Air Show).

 

Dengan lokasi penganjuran di pulau peranginan antara yang popular dan eksotik di dunia, BIAS dilihat boleh memberi saingan kepada LIMA walaupun daripada saiz penganjuran ia lebih kecil.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Bali walaupun menjadi tumpuan pelancong tetapi tidak mengamalkan kedatangan waktu puncak seperti di Langkawi yang mana pada waktu puncak harga hotel atau rumah penginapan naik mendadak.

 

Dengan kadar tukaran matawang asing yang rendah, Bali syurga pelancong.

 

Berbanding LIMA, hanya dua pasukan aerobatik membuat pertunjukan udara semasa BIAS 2024 iaitu Tim Jupiter milik TNI AU dan Tim Neptune daripada TNI Angkatan Laut.

 

Tim Jupiter menerbangkan 6 pesawat KT-1B manakala Neptune dengan 6 pesawat ringan Bonanza G36.

 

Bagaimana pun, yang mencuri tumpuan ialah aksi lintas tebang pesawat tempur halimunan F-35A Lightning II tentera udara Australia (RAAF)

 

Pesawat
Penyertaan pesawat F-35 menjadi tumpuan pengunjung.

 

Pesawat
BIAS walaupun lebih kecil berbanding LIMA tetapi mempunyai potensi untuk menjadi pesaing.

 

Ini juga merupakan penyertaan kali pertama pesawat milik RAAF tersebut, yang mana secara tidak langsung menunjukkan hubungan erat kedua-dua negara.

 

LIMA biarpun telah memasuki usia penganjuran 33 tahun seringkali berdepan dengan beberapa masalah sama seperti kesesakan jalan ke pusat pameran, aliran lalu lintas yang bercelaru, kekurangan tempat letak kenderaan dan kemudahan asas.

 

Sepanjang tempoh itu juga sangat sedikit pembangunan dibuat untuk menaik taraf lokasi penganjuran khususnya jalan-jalan utama.

 

Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menjadi tempat pameran utama pula makin kelihatan usang umpama lama tidak diselenggara selain kawasan persekitarannya tidak teratur.

 

Ini antara isu-isu yang sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kementerian terlibat dan penganjur selain meletakkan jumlah kehadiran pengunjung sebagai pencapaian.

 

Pesawat

 

Pesawat
Kehadiran wakil-wakil syarikat aeroangkasa global menunjukkan ada peluang ekonomi yang baik di Indonesia dan serantau.

 

Begitu juga dengan kehadiran pesawat-pesawat udara yang membuat pameran statik apabila kebanyakan adalah pesawat jenis sama yang pernah datang sebelumnya.

 

Sebagai pameran bertaraf antarabangsa, prestij penganjuran LIMA perlu sentiasa dikekalkan sepertimana semasa pada tahun-tahun awal ia dilaksanakan.

 

Walaupun Pertunjukkan Udara Singapura  tidak kurang hebatnya tetapi ia tidak pernah dilihat sebagai pesaing kepada LIMA.

 

Ini kerana Pertunjukkan Udara Singapura dianggap berbeza kerana tidak melibatkan pameran maritim selain ketiadaan negara kuasa besar dunia, Rusia.

 

Singapura juga tidak dilihat sebagai destinasi percutian yang mesra poket kepada pelancong.

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat Sukhoi SU-30 Indonesia.

 

Sebaliknya, BIAS sebagai sebuah penganjuran baharu, BIAS mempunyai banyak kelebihan untuk merancang pengisian pada masa akan datang termasuklah penglibatan rakan-rakan kerjasama strategik global.

 

Penganjuran BIAS menunjukkan kesediaan Indonesia untuk bersaing dan menjadi pemain global yang terkemuka dalam industri aeroangkasa.

 

Peningkatan sektor aeroangkasa Indonesia adalah penting untuk masa depan republik tersebut bukan sekadar keperluan strategik, tetapi pemacu penting ekonomi dan kemajuan sosial negara.

 

Gergasi aeroangkasa republik itu, PT Dirgantara Indonesia (PTDI) misalnya adalah yang terbesar di rantau ini serta antara yang terbaik di Asia.

 

Program pemodenan TNI-AU yang sedang rancak dilaksanakan juga bakal memberi limpahan teknologi kepada PTDI dan industri hiliran lain.

 

Pesawat

 

BIAS 2024 membuka peluang yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk Indonesia dalam kedua-dua sektor komersial dan pertahanan. 

 

Airbus, Boeing, Embraer dan pengeluar terkemuka lain misalnya bukan sahaja pasaran yang menguntungkan di Indonesia tetapi rakan kongsi berpotensi untuk pengeluaran dan R&D di Asia Tenggara. 

 

Acara itu juga sejajar dengan Program Pembangunan Industri Pertahanan Indonesia bertujuan meningkatkan keupayaan pengeluaran pertahanan domestik. 

 

Edisi BIAS seterusnya akan diadakan tahun hadapan sebelum menjadi acara dwitahunan.

 

Bermakna ia bakal dianjurkan pada tahun yang sama dengan LIMA. Tidak mustahil sekiranya BIAS dapat memikat komuniti industri aeroangkasa global ia boleh memberi saingan kepada LIMA. - DagangNews.com