BPMB beri kemudahan pembiayaan RM852 juta kepada Zecon bina hospital pakar kanak-kanak UKM | DagangNews Skip to main content

BPMB beri kemudahan pembiayaan RM852 juta kepada Zecon bina hospital pakar kanak-kanak UKM

Pengarah Urusan Kumpulan Zecon Berhad, Datuk Zainal Ahmad dan Pengarah Urusan BPMB, Mohamed Nazri Omar berjabat tangan menandakan majlis menandatangani kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq bernilai RM852 juta untuk projek HPKK, bersama Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Roni Abdulwahab dan,Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Zecon,Datuk Sim Kheng Boon
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memberikan pembiayaan aset tawarruq bernilai RM852 juta kepada Zecon Bhd bagi menyokong pembangunan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK). 

 

Hospital pakar yang mempunyai 243 katil itu akan memainkan peranan penting dalam perkembangan perkhidmatan penjagaan kesihatan kanak-kanak di Malaysia.

 

Selain daripada memastikan kemampanan jangka panjang, projek itu juga menyokong operasi Zecon yang lebih luas dan sejajar dengan tujuan BPMB bagi menyampaikan modal impak dalam pembangunan negara.

 

Penilaian pembiayaan kemudahan itu dijalankan melalui rangka kerja Pengukuran Kesan Ke Atas Pembangunan Negara (MIND) BPMB agar projek itu sejajar dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Kerajaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, pembiayaan itu  memenuhi peranan bank dalam menyokong pelaburan infrastruktur jangka panjang yang mampan, selaras dengan perjalanan pembangunan infrastruktur kerajaan seperti yang digariskan dalam agenda dan dasar negara. 

 

“Sebagai sebuah syarikat yang dikawal oleh Bumiputera dengan akar Pribumi di Sarawak, Zecon akan memajukan agenda pembangunan negara Malaysia dengan ketara,” kata beliau. 

 

Kata BPMB, Zecon memainkan peranan penting dalam pembinaan negara, menyumbang kepada pembangunan Malaysia termasuk Projek Skim Bekalan Air Triang Negeri Sembilan, terowong pemindahan air dan loji rawatan, kampus baharu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Lebuhraya Pan Borneo Di Negeri Sarawak, Pakej Kerja Fasa 1 3 (Bulatan Serian ke Persimpangan Pantu).

 

Datuk Zainal Abidin Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan Zecon Berhad, berkata perkongsian itu akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan syarikat dan membolehkannya menumpukan pada penyampaian projek infrastruktur kritikal, seperti HPKK yang akan meningkatkan penjagaan kesihatan dengan ketara di Malaysia.- DagangNews.com