BYD Auto Industry lantik Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia pengedar Denza | DagangNews Skip to main content

BYD Auto Industry lantik Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia pengedar Denza

Melalui Denza, BYD berhasrat menyediakan pengalaman EV yang lebih pelbagai, inovatif dan premium kepada rakyat Malaysia.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Okt - BYD Auto Industry Co., Ltd. menandatangani perjanjian pengimportan dan pengedaran sub-jenama premium BYD, Denza, secara rasmi di Sunway Resort Hotel semalam, di mana Sime Darby Auto Imports Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pengedar rasmi untuk jenama itu di Malaysia. 

 

Langkah itu menandakan permulaan perjalanan baharu dan memperkukuh hubungan antara BYD dan Sime Darby sebagai satu kumpulan, serta mengembangkan kerjasama sebagai pengimport rasmi.

 

Kerjasama tersebut merupakan langkah pertama bagi Denza memasuki Malaysia dan dijangka membawa dimensi baharu ke pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia dengan teknologi terkini, ciri-ciri premium dan pengalaman memandu yang lebih baik. 

 

Melalui Denza, BYD bertujuan untuk menyediakan pengalaman EV yang lebih pelbagai, inovatif dan premium kepada rakyat Malaysia.

 

BYD
Dari kiri ke kanan, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn. Bhd., Eagle Zhao, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik di BYD, Liu Xueliang, dan Pengarah Urusan Sime Darby Auto Imports Sdn. Bhd., Harun Mohd Joned. 

 

Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik di BYD, Liu Xueliang berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports untuk membawa Denza ke pasaran Malaysia, menandakan pencapaian penting bagi BYD dalam usahanya mengembangkan tawaran EV di Asia Tenggara. 

 

"Sebagai peneraju dalam inovasi, kami bangga dapat membawa teknologi EV canggih kami ke Malaysia, di mana permintaan untuk mobiliti mampan terus meningkat. 

 

"Dengan Denza, kami dapat menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan melalui teknologi dan ciri premium dalam industri EV. Kami percaya Denza akan mentakrifkan semula pengalaman EV premium dan menetapkan piawaian baru bagi pemandu Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan, Pengeluaran dan Perniagaan Strategik di Sime Darby Motors Dennis Ho menyifatkan, langkah itu menandakan satu pencapaian penting baginya dalam menjalin kerjasama dengan BYD Auto Industry dan BYD Malaysia, yang diharap dapat memperluas kehadiran syarikatnya di pasaran EV sambil mempelbagaikan portfolio EV Sime Darby. 

 

"Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepat pertumbuhan kenderaan elektrik di Malaysia dan kami percaya membawa masuk Denza akan menjadi sebahagian besar daripada perjalanan ini," ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn. Bhd, Eagle Zhao, menekankan komitmen jenama untuk meningkatkan landskap EV di Malaysia iaitu memudahkan akses EV kepada lebih ramai pelanggan selain menawarkan pilihan premium kepada pemandu Malaysia yang menggabungkan kemewahan dan kelestarian. 

 

"Penerimaan cepat EV di Malaysia adalah bukti kemajuan negara dalam menerima masa depan yang lebih bersih dan hijau. Kami bangga dapat mengambil bahagian dalam transformasi ini, memperluas tawaran pelbagai kami dan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan segmen pemandu baru," katanya. - DagangNews.com