Cadangan pengambilalihan LPI Capital beri rangsangan kepada Public Bank - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan LPI Capital beri rangsangan kepada Public Bank - MIDF Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Public Bank Bhd and LPI Capital Bhd catat dagangan lebih rendah berikutan penyambungan semula dagangan hari ini selepas sahamnya digantung selama dua hari sejak 9 Oktober 2024. 

 

Saham bank tersebut jatuh 14 sen, atau 3.06%, kepada RM4.43 pada 9:30 pagi. Kini merupakan kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia, dengan 32.6 juta saham bertukar tangan.

 

Saham LPI, susut 36 sen, atau 2.77%, kepada RM12.64 dengan 478,000 saham diniagakan di Bursa Malaysia. 

 

Public Bank mengumumkan cadangan pengambilalihan 44.15% saham LPI Capital daripada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd (ConTeh) untuk tunai RM1.72 bilion, atau RM9.80 sesaham.

 

Bank itu berkata, pengambilalihan itu akan mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) untuk membeli semua baki saham LPI yang belum dipegang oleh Public Bank pada harga RM9.80 sesaham.

 

Di samping itu, Diona Teh Li Shian, anak perempuan bongsu Tan Sri Dr Teh Hong Piow, mengumumkan estet dan ConTeh merancang untuk menjual saham mereka alam Public Bank secara progresif saham dalam tempoh lima tahun akan datang, mengurangkan pegangan keluarga Teh daripada 23.41 % kepada 10% selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan.

 

MIDF Research berkata, berdasarkan harga penutup LPI sebelum penggantungan dagangannya dan harga purata wajaran volum lima hari (VWAP) masing-masing RM13.00 dan RM12.84, harga pembelian dan tawaran menyaksikan diskaun sebanyak 24.6% dan 23.7% masing-masing.

 

Firma penyelidikan itu mengujurkan harga tawaran nilai harga ke buku (PBV) sebanyak 1.71x, iaitu diskaun daripada P/BV semasanya sebanyak 2.3x.

 

“Dengan mengambil kira perkara ini, kami percaya MGO berkemungkinan tidak akan melihat sebarang faedah daripada baki pemegang saham. Public Bank berhasrat untuk mengekalkan penyenaraian LPI,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Firma tersebut berkata, pengambilalihan itu memberi peluang kepada kumpulan itu mengembangkan lagi segmen insurans amnya melalui platform LPI untuk segera memperoleh kedudukan kukuh dan akses segera kepada pangkalan pelanggan syarikat insurans itu.

 

Pada masa ini, segmen insurans am kumpulan dijalankan di Kemboja melalui anak syarikat milik 55%nya, iaitu Campu Lonpac Insurance Plc.

 

“Dengan mengandaikan MGO menerima penerimaan penuh, impak pro forma berdasarkan FY23 akan menyaksikan peningkatan kecil kepada pendapatan Public Bank dengan EPS 1 sen daripada 35 sen kepada 36 sen, iaitu peningkatan +2.8%.

 

“Sementara itu, kami mengunjurkan tidak akan ada perubahan kepada BVPS Public dan impak nisbah CET-1 hanya -20bps. Berdasarkan model kami, kami menganggarkan kesan 5% kepada anggaran pendapatan FY25 Public Bank," kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas Public Bank dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM5.16.

 

Sementara itu, TA Securities menyifatkan harga pemerolehan RM9.80 sesaham sebagai munasabah. Dengan PBV kira-kira 1.7x, tawaran tersebut memberi sedikit premium berbanding urus niaga terkini di Malaysia, di mana purata gandaan PBV adalah sekitar 1.6x.

 

Firma penyelidikan itu berkata, premium kelihatan wajar, memandangkan Public Bank memperoleh pegangan kawalan dalam LPI, yang berkemungkinan memberikan manfaat strategik tambahan seperti pengaruh yang lebih besar ke atas operasi dan sinergi LPI dalam kumpulan.

 

“Secara keseluruhan, kami optimis mengenai pengambilalihan ini, kerana ia sejajar dengan strategi PBB untuk meningkatkan kehadirannya dalam sektor insurans melalui LPI. Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pendapatan,” katanya.

 

Unjuran keuntungan bersih consensus LPI pada FY24 dan FY25 masing-masing ialah RM371 juta dan RM393.4 juta. Dengan itu, TA mengunjurkan 44.15% kepentingan PBB dalam LPI akan meningkatkan pendapatan kumpulan sekitar 2%, diterjemahkan kepada peningkatan dalam sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 20-25 mata asas.- DagangNews.com