Capital A tamatkan perjanjian dengan Aetherium, bagi menyuntik perniagaan syarikat pemerolehan tujuan khas di Nasdaq berharga RM5 bilion | DagangNews Skip to main content

Capital A tamatkan perjanjian dengan Aetherium, bagi menyuntik perniagaan syarikat pemerolehan tujuan khas di Nasdaq berharga RM5 bilion

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Capital A Bhd menamatkan perjanjian dengan Aetherium Acquisition Corp sebagai usaha membuka jalan bagi menyuntik perniagaan pengurusan jenama AirAsia ke dalam syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) yang tersenarai di Nasdaq dengan harga AS$1.15 billion (RM5 billion).

 

Capital A berkata, pembatalan perjanjian itu dibuat kerana Aetherium telah menerima pemberitahuan penyahsenaraian daripada panel pendengaran Nasdaq pada bulan Jun 2024.

 

Aetherium mengemukakan rayuan terhadap notis itu, tetapi Capital A masih mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian di bawah terma dan syarat perjanjian itu. 

 

"Selepas pelbagai pertimbangan yang sewajarnya dibuat, Lembaga pengarah memutuskan untuk menggunakan haknya bagi menamatkan perjanjian gabungan perniagaan selepas mempertimbangkan, antara lain, risiko dan kesan Aetherium dinyahsenarai secara rasmi menurut penentuan penyahsenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham Capital A setuju lupus perniagaan penerbangan kepada AAX, buka jalan keluar daripada status PN17

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perjanjian itu adalah keputusan strategik. Kumpulan akan memberi tumpuan melengkapkan pelan penyusunan semula, yang kebanyakannya terdiri daripada proses pengurangan modal.

 

Beliau berkata, sebaik sahaja pelan penyelarasan berjaya diselesaikan dan Capital A akan keluar dari status PN17 dan akan menyambung semula rancangan untuk menyenaraikan semua perniagaan secara individu.

 

"Masa adalah penting, dan langkah ini memastikan kami mengutamakan perkara yang kritikal dan mengekalkan momentum.”

 

"Dengan pelan penyusunan semula dan sokongan para pemegang sahamnya, Capital A berada pada kedudukan yang baik untuk masa depan kewangan yang lebih cerah," katanya.

 

Capital A mencadangkan untuk membuka kunci nilai perniagaan penjenamaan, Capital A International (CAPI), sebagai sebahagian daripada rancangan awalnya untuk menangani kedudukan ekuiti negatifnya dan keluar daripada status PN17.

 

Bulan ini, pemegang saham minoriti Capital A dan AirAsia X Bhd (AAX) telah memberi persetujuan kepada Capital A untuk melupuskan AirAsia dan AirAsia Aviation Group Ltd kepada AAX, untuk nilai gabungan RM6.8 bilion dalam saham AAX bernilai RM3.3 bilion, dan RM3 bilion dalam ubah suai hutang daripada Capital A kepada AAX.

 

Tony berkata, pelan penyusunan akhir akan diserahkan kepada Bursa Malaysia tidak lama lagi dan ia direka untuk mengembalikan kumpulan kepada kedudukan lebih kukuh serta membolehkan pertumbuhan masa dpan selain pengembangan strategik.

 

Katanya, perkara itu adalah halangan terakhir untuk mengeluarkan kumpulan daripada status yang memberi tekanan dari segi kewangan yang menghalang keupayaan mereka untuk mengumpul modal dan berkembang.

 

Selepas Capital A memuktamadkan pelan penyusunan semula dan membuat kemajuan dalam pelupusan perniagaan penerbangan, kumpulan itu boleh memberi fokus kepada usaha mengembangkan empat syarikat dalam Capital A iaitu CAPAS (perkhidmatan penerbangan), Teleport, MOVE digital dan syarikat penjenamaan. - DagangNews.com