CBH Engineering diramal terima manfaat pertumbuhan pelaburan, pasaran hartanah dan pusat data - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

CBH Engineering diramal terima manfaat pertumbuhan pelaburan, pasaran hartanah dan pusat data - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - CBH Engineering Holding Bhd diramal menerima manfaat daripada pertumbuhan pelaburan asing dan domestik, pasaran hartanah dan industri pusat data pada masa hadapan.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu memiliki kepakaran lebih daripada 30 tahun dalam mereka bentuk membina dan melengkapkan pencawang bagi menyambungkan grid nasional kepada premis pengguna akhir dalam memenuhi keperluan industri, komersial serta kemudahan kediaman.

 

Dengan kelayakan kontraktor Gred G7, kumpulan itu diberi kuasa untuk menjalankan projek yang bernilai tanpa had.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sejak kebelakangan ini, kumpulan itu berjaya menyempurnakan beberapa kontrak pencawang voltan tinggi (HV) untuk pusat data skala besar.

 

"Dengan memanfaatkan rekod prestasinya yang kukuh, kumpulan itu berada pada kedudukan baik bagi memanfaatkan sasaran negara menjadi pasaran pusat data yang berkembang pesat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CBH Engineering merancang untuk mengembangkan bahagian projeknya dengan mengambil 11 pekerja tambahan, meningkatkan bilangan tenaga kerjanya daripada 73 orang sekarang.

 

Ini dijangka meningkatkan kapasiti pelaksanaannya sebanyak 30% menjelang 2026. Memanfaatkan bon prestasi - biasanya mencakupi 5% hingga 10% daripada saiz kontrak - yang dibangkitkan melalui pembiayaan tawaran awam permulaan (IPO) dengan mereka menyasarkan untuk membida projek bernilai lebih tinggi.

 

RHB Investment berkata, kedudukan tunai bersih kumpulan diunjur meningkat kepada RM125 juta selepas penyenaraian IPO.

 

"Dengan kedudukan kewangan dan status penyenaraian yang dipertingkatkan, kami percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik bagi mengukuhkan daya saing dan menarik lebih ramai pelanggan terkemuka pada masa hadapan.

 

"Sehingga 25 November 2024, buku pesanan tertunggak CBH Engineering berjumlah RM203.7 juta, dengan majoriti dijangka diiktiraf pada FY24 - 80% daripada ini datang daripada projek berkaitan pencawang.

 

"Unjuran pendapatan FY25 kami mengandaikan kadar kejayaan 20% untuk penukaran tender, sejajar dengan kadar kejayaan kumpulan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga wajar (FV) 47 sen sesaham.- DagangNews.com