KUALA LUMPUR 6 Jan - Chin Well Holdings Bhd (Chin Well) dijangka mendapat manfaat daripada tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap pengepit yang dihasilkan di China, memandangkan syarikat itu adalah antara yang boleh menghasilkan pengepit mengikut sistem ukuran imperial yang digunakan di AS.
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Tsai Chia-ling berkata, situasi tersebut akan mengalihkan tempahan ke Malaysia selepas AS mengenakan tarif hampir 40% terhadap import dari China mulai tahun ini.
"Chin Well berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut tempahan ini, kerana kami adalah antara beberapa pengeluar pengepit di rantau ini yang menghasilkan standard imperial.
"AS menggunakan sistem ukuran imperial. Namun, pelaburan dalam acuan standard imperial adalah mahal, jadi hanya terdapat beberapa pengeluar di pasaran yang menghasilkan pengepit untuk pasaran AS," katanya kepada StarBiz.
Chia-ling berkata, ringgit yang lebih lemah juga membolehkan kumpulan meningkatkan keuntungan, susulan kadar penukaran mata wang yang lebih tinggi.
Dalam suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 September 2024, kumpulan mencatatkan hasil keseluruhan sebanyak RM105.93 juta, yang mewakili kenaikan sebanyak 26.4%.
Namun, pendapatan kumpulan tidak meningkat sejajar dengan peningkatan jualan.
"Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.92 juta dalam suku semasa berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.37 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
"Kerugian sebelum cukai kumpulan disebabkan oleh margin keuntungan yang lebih rendah dicapai daripada hasilnya di tengah harga jualan purata yang lebih rendah dan kerugian pertukaran asing dalam suku semasa, akibat pengukuhan ringgit berbanding dolar AS," jelasnya.
Beliau menambah, kumpulan menjangkakan lebih banyak projek pembinaan besar di Malaysia akan dimulakan semula tidak lama lagi, yang akan menghasilkan penghantaran produk kepada pelanggan dalam industri berkaitan.
"Selain daripada perniagaan teras sedia ada, kumpulan akan meneroka usaha niaga baharu yang berpotensi memberi manfaat dari semasa ke semasa," ujarnya
Chin Well juga menjangkakan sumbangan dari pasaran AS akan meningkat pada 2025 dalam eksport produk threaded rods dan bolt ke negara itu.
Menurut laporan Allied Market Research, pasaran pengepit global yang bernilai RM437.83 bilion pada 2022 dijangka mencapai RM680.17 bilion menjelang 2032, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 4.6% dari 2023 hingga 2032. - DagangNews.com