CIMB, AKPK bekerjasama laksana program celik kewangan bantu pekerja Top Glove | DagangNews Skip to main content

CIMB, AKPK bekerjasama laksana program celik kewangan bantu pekerja Top Glove

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Dis - CIMB Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) dan CIMB Foundation, bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk melaksanakan program kewangan menyeluruh kepada pekerja Top Glove, bagi membantu mereka menguruskan kesejahteraan kewangan.

 

Kerjasama strategik itu bertujuan memberi peserta ilmu celik kewangan dengan menyediakan alat dan sumber praktikal yang membolehkan pekerja membuat keputusan yang lebih bijak. 

 

Program berkenaan merangkumi aspek utama seperti pengurusan aliran tunai peribadi, pengurusan hutang, perancangan kewangan, perlindungan dan pencegahan penipuan kewangan. 

 

Dengan memberi peserta kemahiran asas, inisiatif tersebut diharap dapat meningkatkan daya tahan kewangan dan pengetahuan, menyumbang kepada kesejahteraan kewangan keseluruhan tenaga kerja Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, pihaknya komited menyebarkan pengetahuan kewangan kepada semua peringkat umur. 

 

Katanya, melalui pendidikan kewangan yang mudah, boleh diakses dan alat praktikal, CIMB berusaha memberdayakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang tepat untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. 

 

"Bersama-sama dengan AKPK, kami gembira dapat menyediakan panduan yang diperibadikan dan disesuaikan untuk pekerja Top Glove dalam menangani keputusan kewangan yang kompleks, dari pengurusan hutang sehingga perancangan persaraan.

 

"Ini juga selaras dengan seruan kerajaan kepada institusi kewangan untuk meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan pemahaman kewangan yang penting di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, syarikatnya berbesar hati atas usaha CIMB mengetuai inisiatif itu kerana ia akan memberi manfaat besar kepada kakitangan dalam membuat keputusan kewangan yang lebih bijak, meningkatkan kedudukan kewangan dan mewujudkan keselamatan jangka panjang untuk mereka dan keluarga.

 

"Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan kami untuk menyokong kesejahteraan pekerja.

 

"Kami memuji CIMB atas usaha mereka memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pengetahuan kewangan yang penting yang akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara secara keseluruhan," ujarnya.

 

CIMB menerusi CIMB Foundation, menggalakkan literasi kewangan di setiap peringkat kehidupan melalui pelbagai inisiatif. 

 

Antaranya adalah program pendidikan kewangan untuk menyokong pelajar sekolah menengah dengan kerjasama FINCO dan membimbing pelajar universiti dengan kemahiran pengurusan kewangan asas melalui program Be$MART. 

 

Sejak penubuhannya, inisiatif itu memberdayakan lebih 21,000 belia, membantu mereka memahami kepentingan perancangan kewangan. - DagangNews.com