Crescendo Corporation ambil alih SGR Land Development, beli tanah bernilai RM168.85 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

Crescendo Corporation ambil alih SGR Land Development, beli tanah bernilai RM168.85 juta di Johor

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pemaju hartanah, Crescendo Corporation Bhd mengambilalih 100% pegangan saham dalam SGR Land Development Sdn Bhd dan membeli tanah seluas 54.64 hektar di Johor bernilai RM168.85 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia akan membayar RM10.79 juta untuk mengambilalih pegangan saham dalam SGR Land kepada pemilik tunggal Ong Soon Liong (Ong Soon Chong) dan Lok Kok Lee. 

 

Selain daripada baki pembelian RM158.06 juta itu, ia tidak akan menanggung sebarang liabiliti daripada pembelian itu.

 

"Tanah stretegik itu akan menyediakan akses kepada Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lebuhraya Utara-Selatan, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, menjadikannya ideal untuk pembangunan hartanah perindustrian. 

 

"Pembelian tanah perindustrian itu dijangka menjana  pertumbuhan stabil, dengan jangkaan pelaburan dan insentif cukai bagi syarikat yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya.

 

SGR Land telah menandatangani enam perjanjian jual-beli untuk tanah tersebut dengan hak milik industri dan komersial sederhana, dengan harga urus niaga antara RM26.50 hingga RM40 setiap kaki persegi.

 

Crescendo berkata, enam perjanjian itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2025 dan menyatakan urus niaga itu akan dibayar dengan rizab tunainya.

 

Crescendo mempunyai tunai bersih sebanyak RM238.42 juta pada akhir Julai. - DagangNews.com