Cukai eksport disemak bagi menjadikan sektor sawit lebih berdaya saing - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Cukai eksport disemak bagi menjadikan sektor sawit lebih berdaya saing - Johari Ghani

KUALA LUMPUR 22 Okt - Semakan semula kadar duti eksport minyak sawit, berkuat kuasa 1 November ini seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, dijangka tidak menjejaskan daya saing industri minyak sawit Malaysia.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata semakan itu bertujuan menggalakkan pemprosesan selanjutnya dan aktiviti hiliran dalam industri minyak sawit, yang membawa kepada pengeluaran produk nilai tambah lain.

 

"Apabila kita mengenakan cukai yang tinggi ke atas eksport minyak sawit mentah (MSM), ia sebenarnya untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran.

 

"Lebih banyak produk nilai tambah akan dihasilkan dalam negara berbanding mengeksport MSM," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2024 di sini hari ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Dalam lampiran Belanjawan 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, kerajaan mencadangkan menaikkan kadar duti eksport maksimum kepada 10 peratus bagi MSM berharga melebihi RM4,050 setan berkuat kuasa 1 Nov.

 

Semakan baharu itu juga menunjukkan bahawa duti eksport sebanyak 8.5 peratus akan dikenakan ke atas MSM berharga antara RM3,601 satu tan dan RM3,750 satu tan, sembilan peratus bagi harga antara RM3,751 satu tan dan RM3,900 satu tan, dan 9.5 peratus bagi harga antara RM3,901 satu tan dan RM4,050 satu tan.

 

Pada masa ini, struktur duti eksport MSM bermula pada 3.0 peratus bagi harga antara RM2,250 satu tan dan RM2,400 satu tan, dengan kadar maksimum ditetapkan pada 8.0 peratus bagi harga MSM melebihi RM3,450 satu tan.

 

Berhubung cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2025 yang mewajibkan semua pekerja asing mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Johari berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada majikan.

 

Tambahnya, adalah lebih baik menunggu perbahasan parlimen mengenai cadangan itu dahulu.

 

"Bagi pekerja tempatan, mereka memang mencarum kepada KWSP. Dalam konteks pekerja asing, kita masih belum menerima maklum balas daripada majikan. Saya rasa kita tunggu perbahasan parlimen dan lihat apa maklum balas yang kita dapat," katanya.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan mewajibkan semua pekerja asing mencarum kepada KWSP akan dilaksanakan secara berperingkat.

 

Beliau berkata kerajaan komited untuk memberikan layanan yang adil kepada semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mengikut piawaian antarabangsa. - DagangNews.com