Deleum dijangka memanfaatkan peningkatan permintaan aktiviti huluan susulan kontrak RM105 juta daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Deleum dijangka memanfaatkan peningkatan permintaan aktiviti huluan susulan kontrak RM105 juta daripada Petronas Carigali

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Deleum Berhad dijangka mampu memanfaatkan peningkatan permintaan untuk aktiviti huluan berikutan kontrak penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) bernilai RM105 juta diterima oleh Deleum Technology Solutions Sdn Bhd  daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB)  pada Jun 2024. 

 


MIDF Research berkata ia kekal positif terhadap unjuran minyak dan gas huluan susulan dua surat anugerah (LOA) daripada PCSB, yang memberikan DTS kontrak meliputi kerja-kerja MCM untuk Aset Semenanjung Malaysia (PMA) dan  perkhidmatan hook-Up & pentauliahan (HUC) untuk Aset Sarawak (SKA). 

 

Kedua-dua kontrak bagi PMA dan SKA ditetapkan selama lima tahun dengan pilihan lanjutan untuk satu penggal selama tiga tahun dan satu penggal selama 2 tahun.

 

“Kami menjangkakan LOA oleh PCSB menandakan daya tahan dan kestabilan jangka panjang di bahagian huluan.

 

“LOA ini menunjukkan pelaburan dan komitmen berterusan terhadap aktiviti E&P dan penyelenggaraan yang penting untuk mengekalkan dan meningkatkan pengeluaran minyak dan gas dalam jangka masa panjang.

 

“Oleh itu, kami percaya Deleum mampu memperoleh kelebihan daripada sentimen positif ini memandangkan permintaan MCM untuk kemudahan dan peralatan luar pesisir, memberi petanda baik untuk hasil dan pendapatan masa depan Deleum. 

 

“ Kami percaya dengan anugerah LOA ini akan meningkatkan lagi kedudukan DELEUM  dalam pasaran sebagai penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai dan mampan untuk operasi luar pesisir,” ujarnya dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu tidak membuat perubahan pada unjuran ramalan Deleum, sementara menunggu maklumat lanjut tentang LOA dan keputusan 3QFY24 kumpulan. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan panggilan ‘beli’ terhadap Deleum, dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.64 se saham,” katanya.- DagangNews.com