Destini kembali catat untung bersih RM6.68 juta pada 1QFY25 dipacu peningkatan hasil sebanyak 260% | DagangNews Skip to main content

Destini kembali catat untung bersih RM6.68 juta pada 1QFY25 dipacu peningkatan hasil sebanyak 260%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Destini Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM6.68 juta padasuku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY25) berbanding kerugian bersih RM7.1 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan itu pada suku berkenaan juga melonjak 260% kepada RM79 juta berbanding RM22 juta pada 1QFY24 dipacu dengan kejayaan penghantaran tiga tren oleh M Rail Technics Sdn Bhd dan peningkatan bekalan peralatan oleh Destini Prima Sdn Bhd.

 

Katanya, perbelanjaan pentadbiran berkurangan kepada RM11.35 juta daripada RM13.94 juta, mempamerkan peningkatan kecekapan operasi dan langkah pemotongan kos yang dilaksanakan sepanjang tahun.

 

Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata, prestasi kukuh itu ditambah dengan inisiatif penempatan persendirian yang menekankan pertumbuhan serta kecemerlangan operasi pihaknya.

 

"Buku pesanan Destini yang kukuh menandakan pulangan kepada keuntungan tahun ini. Kontrak utama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dijangka memacu pendapatan bermula tahun ini hingga 2026.

 

"Sektor penerbangan & pertahanan, tenaga dan marin menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan daripada peningkatan tempahan dan aktiviti, manakala sektor Mobiliti akan mula menyumbang melalui aktiviti MRO kereta api berjadual untuk Kementerian Pengangkutan.

 

"Pengoptimuman kos merentas segmen lain juga bertujuan meningkatkan keuntungan kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Destini merancang untuk menyokong pertumbuhannya melalui penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya. Dana itu akan digunakan untuk projek utama dan memperoleh peralatan baharu untuk meningkatkan daya saingnya.

 

Sebahagian dana itu akan digunakan untuk modal kerja projek EPCC solar yang sedang berjalan Bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd di lebih 350 tapak di seluruh negara, termasuk system solar fotovoltaik. Dana tambahan akan digunakan untuk menyelenggara aset Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Ismail berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, pihaknya merancang untuk mengewangkan buku pesanan sedia ada kami sebanyak RM791 juta yang akan mengekalkan pihaknya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Beliau berkata, sektor Mobiliti akan menjadi penyumbang hasil utama kumpulan pada masa hadapan, kerana kira-kira 80% daripada buku pesanan terdiri daripada kontrak MRO.

 

"Buku tender kami pada masa ini berjumlah kira-kira RM688 juta, melibatkan sektor mobiliti (RM650 juta) dan sektor lain (RM38 juta),” katanya.- DagangNews.com