KUCHING 17 Okt - Kerajaan Persekutuan perlu merangka pelan jangka panjang dengan menubuhkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) berhampiran sempadan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia untuk memanfaatkan peluang perniagaan merentas sempadan, kata Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI).
Menurut Setiausaha Agung KCGCCI, Datuk Jonathan Chai Voon Tok, pelan jangka panjang itu amat penting pada waktu ini lebih-lebih lagi berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.
Beliau menyatakan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai harapan KCGCCI untuk Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.
“Kami berharap kerajaan akan memberi perhatian serius kepada masalah berlarutan dihadapi oleh perniagaan kami berkaitan sekatan yang dikenakan terhadap perdagangan rentas sempadan di pintu masuk perdagangan CIQS Tebedu dan Entikong," katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan harus memperbaiki peluang perdagangan sempadan dan dua hala antara kedua-dua wilayah.
Voon Tok memaklumkan, urusan penghantaran barangan dari Sarawak ke Kalimantan Barat sering terhalang di pos pemeriksaan Tebedu-Entikong sejak 2014,dan sekatan masih dikenakan untuk menghalang kargo dari Sarawak memasuki Kalimantan melalui pintu masuk tersebut.
KCGCCI juga berharap tiada cukai baharu akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
"Terdapat spekulasi bahawa kerajaan mungkin memperkenalkan cukai baharu termasuk cukai warisan dalam belanjawan akan datang.
"Diharapkan tiada cukai baharu akan diperkenalkan kerana kerajaan harus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi," katanya menambah, cukai baharu yang meningkatkan kos akan memberi kesan buruk kepada banyak perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan tidak akan membantu usaha menarik pelabur asing.
Sebaliknya beliau berkata, sektor perniagaan berharap agar kadar cukai diturunkan untuk memberi mereka lebih ruang bernafas dalam iklim ekonomi yang tidak menggalakkan.
Voon Tok pada masa sama berharap, Belanjawan 2025 akan memperuntukkan jumlah yang mencukupi untuk perbelanjaan pembangunan di Sarawak dan Sabah, di mana infrastruktur masih jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia.
"Secara khusus, pembiayaan yang mencukupi harus disediakan untuk memperbaiki dan memperluas aksesibiliti sambungan internet serta untuk membina semula dan membaik pulih sekolah dan klinik yang uzur," katanya.
Beliau berkata, walaupun baru-baru ini geran khas sejumlah RM600 juta dianugerahkan masing-masing kepada Sarawak dan Sabah menurut Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan, lebih banyak dana pembangunan masih diperlukan untuk meningkatkan infrastruktur dan memperluas penyediaan utiliti serta perkhidmatan telekomunikasi, terutamanya di kawasan pedalaman.
"Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan melaksanakan tindakan untuk mencerminkan kesungguhan dan komitmennya mengiktiraf perjanjian bersejarah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mempercepatkan pembangunan Sarawak dan Sabah," ujar beliau.
Jelasnya, satu pakej pembiayaan juga perlu diwujudkan dalam belanjawan nasional untuk penubuhan Pusat Kanser di Kuching kerana ia adalah projek yang dicadangkan beberapa tahun lalu, tetapi belum dilaksanakan. - DagangNews.com