KUALA LUMPUR 8 Nov - FGV Bulkers Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat tidak langsung FGV Holdings Bhd berhad berdepan tindakan saman berjumlah RM90.84 juta kerana didakwa melanggar perjanjian pembekalan kulit isirung sawit.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, saman itu difailkan oleh South Asian International Distribution Sdn Bhd yang menuntut ganti rugi bagi kerugian yang ditanggung akibat dakwaan pelanggaran perjanjian itu.
FGV Bulkers dikehendaki menjawab saman itu dalam tempoh 14 hari, dan perbicaraan pengurusan kes dijadualkan pada 20 November 2024.
FGV berkata, FGV Bulkers kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan berhubung kesan saman itu dalam masa terdekat.
“Syarikat tidak menjangkakan bahawa akan ada sebarang kesan operasi dan kewangan yang material kepada FGV Bulkers dan FGV daripada saman untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024,” katanya. - DagangNews.com