Dr Anhar, Dr Marjan dan Dr Ahmad Basri dilantik semula anggotai Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dr Anhar, Dr Marjan dan Dr Ahmad Basri dilantik semula anggotai Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia

Dari kiri, Dato' Prof. Madya Dr. Anhar Opir, Dr. Marjan Muhammad dan Dr. Ahmad Basri Ibrahim.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula Mufti Selangor, Datuk Prof. Madya Dr. Anhar Opir; Timbalan Presiden Penyelidikan, Universiti INCEIF; Dr. Marjan Muhammad; dan Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr. Ahmad Basri Ibrahim sebagai ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM. 

 

Pelantikan itu dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

 

Susulan pelantikan itu, BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli majlis berkenaan.

 

Mohd Zawawi melengkapkan tempoh perkhidmatan sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, manakala Zainal Abidin menyempurnakan tempoh perkhidmatan pada 31 Oktober 2024. 

 

"Kedua-duanya telah memberikan sumbangan besar kepada perbincangan MPS dan keseluruhan pembangunan kewangan Islam di Malaysia," jelas BNM dalam satu kenyataan semalam.

 

Dengan pelantikan semula itu, MPS kini dibarisi tujuh orang ahli yang berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang syariah, kewangan Islam dan undang-undang. 

 

MPS dipengerusikan oleh Profesor dari Universiti INCEIF, Prof. Dr. Ashraf Md Hashim dan Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai Timbalan Pengerusi.  


  
Ahli-ahli lain ialah Profesor Universiti INCEIF, Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.

 

Tarikh lantikan Dr. Anhar, Dr. Marjan dan Dr. Ahmad Basri masing-masing bermula dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026, 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027 dan 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

 

MPS merupakan badan berkuasa tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. 

 

Ia juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti, atau transaksi kewangan Islam. 

 

Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan bagi institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah. 

 

Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. - DagangNews.com