KUALA LUMPUR 12 Nov - Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) menjalin kerjasama dengan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan IDEA Centre – pejabat strategik universiti untuk Penyelidikan dan Inovasi, untuk menganjurkan Simposium Farmaseutikal Halal 2024 (HPS 2024) di Putrajaya baru-baru ini, yang bertemakan Menghubungkan Halal kepada Kesihatan: Memupuk Inklusiviti, Inovasi dan Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan.
Acara itu dihadiri oleh kira-kira 300 delegasi dari Malaysia.
Simposium tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Korporasi Pembangunan Halal (HDC), Khairul Azwan Harun dan turut disertai oleh Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato' Dr Hanafiah Harunarashid; Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar; serta pelbagai wakil dari sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, termasuk badan kerajaan dan bukan kerajaan, institusi akademik dan penyelidikan, pengamal penjagaan kesihatan serta pemain industri.
Bertujuan menyediakan platform bagi pendedahan, perkongsian pengetahuan dan perbincangan antara delegasi, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan keberlanjutan industri farmaseutikal halal di Malaysia dan global, simposium terbabit menampilkan perbincangan panel, pembentangan kertas kerja, paparan poster penyelidikan dan kolokium penyelidikan.
Perbincangan panel menyaksikan perkongsian pandangan daripada penceramah yang mewakili UKM, Duopharma Biotech, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), HDC, Kementerian Pertahanan dan Persatuan Farmasi Malaysia.
HPS 2024 adalah kesinambungan beberapa inisiatif antara UKM dan Duopharma Biotech sejak 2019 untuk memperkukuhkan ekonomi farmaseutikal halal, di mana Duopharma Biotech juga membiayai usaha penyelidikan dan pembangunan oleh UKM, yang berpusat di Pusat Inisiatif Perniagaan Farmaseutikal Halal (HPBI) di bawah koordinasi Sekolah Perniagaan Graduan UKM (UKM-GSB).
HPBI adalah fasiliti bersama untuk anggota fakulti UKM dari pelbagai disiplin, termasuk Fakulti Sains dan Teknologi, Farmasi dan Pengajian Islam serta Sekolah Perniagaan Graduan.
Sementara itu, IDEA Centre universiti telah menubuhkan kumpulan penyelidikan Ekonomi Halal yang melibatkan Fakulti Ekonomi, Pengurusan, Farmasi, Pengajian Islam, Sains & Teknologi dan UNIPEQ Sdn Bhd, iaitu cabang komersial universiti.
Kumpulan tersebut bertujuan untuk memajukan pengetahuan melalui penyelidikan, latihan, pensijilan profesional, konferensi dan kerjasama dengan pemegang kepentingan global.
Leonard Ariff berkata, pihaknya berbesar hati menganjurkan HPS 2024 bersama UKM sebagai rakan penyelidikan dan pembangunan jangka panjang dalam sains farmaseutikal halal dan aplikasi komersial.
"Kami telah mencapai kemajuan yang signifikan bersama dan berharap dapat mencipta lebih banyak pencapaian. Melalui simposium ini, Duopharma Biotech mengekalkan momentum kami dalam memimpin kerjasama strategik untuk meraih potensi pertumbuhan pesat dalam industri farmaseutikal halal dan meningkatkan kedudukannya dalam landskap farmaseutikal global.
“Sebagai peneraju farmaseutikal halal di Malaysia dengan 25 tahun kecemerlangan dalam menghasilkan produk bersijil halal untuk pengguna, usaha kami dipacu oleh polisi Halal Terbenam dan komitmen ESG yang merangkumi fokus pada akses kepada ubat," katanya dalam satu kenyataan.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato' Gs. Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman, menekankan pentingnya penyelidikan akademik dalam memajukan sektor farmaseutikal halal.
"UKM adalah satu universiti awam terkemuka di Malaysia, dikenali dengan penekanan yang kuat pada penyelidikan, termasuk dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.
"Di UKM, kami percaya bahawa farmaseutikal halal mewakili peluang kritikal untuk menggabungkan inovasi saintifik dan perniagaan dengan pematuhan agama. Kerjasama antara akademik dan industri ini boleh membawa kepada inisiatif penyelidikan baru, pembangunan produk, modul latihan dan kemajuan dalam pensijilan halal, memastikan akses global kepada produk farmaseutikal yang mematuhi piawaian halal," ujarnya.
Industri halal Malaysia dijangka berkembang kepada RM501.65 bilion menjelang 2030, dengan sumbangan KDNK sebanyak 8.1% menjelang 2025 melalui Pelan Induk Industri Halal 2030, didorong oleh hasrat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global.
Farmaseutikal merupakan sektor pertumbuhan utama, meningkat sebanyak 156.7% dari 2021 ke 2022, pertumbuhan tertinggi yang direkodkan.
Secara global, industri halal menawarkan potensi yang besar, dijangka meningkat kepada RM22.15 trilion menjelang 2030 daripada RM15.51 trilion sekarang, dengan pertambahan jumlah pengguna daripada 1.9 bilion kepada 2.3 bilion menjelang 2030.
Duopharma Biotech adalah syarikat farmaseutikal pertama yang menerima pensijilan halal daripada JAKIM untuk Produk Penjagaan Kesihatan Pengguna pada tahun 1999, mengikut piawaian MS 1500:2009, yang memperkenalkan pelbagai suplemen kesihatan 100% halal, termasuk produk CHAMPS, Flavettes, Proviton dan Naturalle.
Syarikat itu juga mematuhi Piawaian Malaysia untuk Farmaseutikal Halal MS 2424:2019, yang memberikan panduan jelas mengenai keperluan untuk menghasilkan farmaseutikal Halal.
Duopharma Biotech juga merupakan syarikat farmaseutikal pertama yang menerima pensijilan Halal daripada JAKIM untuk produk onkologi, yang dihasilkan di fasiliti Bahan Aktif Farmaseutikal yang Sangat Potent (HAPI) yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, iaitu fasiliti pembuatan ubat kanser pertama di Malaysia, dengan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Agensi Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia.
Biosimilar pertama yang didaftarkan di Malaysia, Erysaa (Erythropoietin), juga merupakan yang pertama dalam kategorinya yang memperoleh pensijilan halal oleh Korea Muslim Federation (KMF) pada tahun 2020.
Begitu juga, rangkaian produk penjagaan rambut IRORO Nutreatment yang dibangunkan menggunakan teknologi sel stem, telah disahkan Halal oleh KMF. - DagangNews.com