KUALA LUMPUR 18 Dis - Syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas yang berpusat di ASEAN, EdgePoint Infrastructure (EdgePoint), menerusi anak syarikatnya, EdgePoint Towers Sdn Bhd (EPT), mengumumkan naik taraf rumusan Sistem Antena Bersama (CAS) Luar di The Exchange TRX (TRX).
CAS terbaharu tersebut merupakan peluasan daripada infrastruktur 5G sedia ada oleh EdgePoint untuk TRX pada Januari 2024, bagi menyediakan sambungan tanpa gangguan di seluruh kawasan pembangunan seluas 28.32 hektar itu.
Rumusan berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia selama dua bulan untuk memastikan semua keperluan dipenuhi.
Ia meningkatkan kapasiti dan kecekapan isyarat tanpa wayar, baik di dalam mahupun di luar bangunan di kawasan pembangunan tersebut.
Liputan CAS yang dipertingkatkan itu turut merangkumi TRX City Park, yang terletak di atas bumbung The Exchange TRX, menangani jumlah pengunjung yang tinggi dan menyokong kedai runcit di aras taman tersebut.
Secara keseluruhan, ruang lantai runcit seluas 1.3 juta kaki persegi di pusat membeli-belah dan kini kedai runcit luar serta aras bumbung akan menikmati sambungan yang lebih pantas dan lancar untuk pembeli dan peniaga.
EdgePoint merancang rumusan CAS yang menepati keperluan pelbagai MNO, bagi mengurangkan jumlah antena yang diperlukan.
Reka bentuk estetiknya dibangunkan dengan kerjasama MNO dan dilaksanakan di tapak dalam masa hanya seminggu, memastikan pengedaran isyarat yang cekap di seluruh pembangunan bersepadu tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin berkata, pihaknya berbesar hati sekali lagi menjadi rakan teknologi kepada TRX City Sdn. Bhd. dan Lendlease.
"Rumusan sambungan ini meningkatkan pengalaman pengguna dan memenuhi keperluan penggunaan data yang semakin meningkat dalam persekitaran pembangunan bercampur berketumpatan tinggi di sekitarnya.
"TRX merangkumi pelbagai jenis hartanah, daripada komersial, runcit, perhotelan, hingga pusat pengangkutan. Apabila jumlah pengunjung dan komuniti di TRX semakin berkembang, keperluan kapasiti, kecekapan dan sambungan tanpa wayar yang stabil juga akan meningkat," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Projek dan Ketua Runcit di Lendlease Malaysia, Mitch Wilson berkata, rumusan yang disediakan oleh EdgePoint Towers membolehkan pihaknya meningkatkan pengalaman sambungan lancar untuk TRX dan pengunjung.
"Kerjasama berterusan dengan EdgePoint sebagai rakan teknologi kami membolehkan kami memastikan sambungan yang meluas, pantas dan lancar di dalam premis, dan kini di aras taman.
"EdgePoint terus menonjol sebagai rakan yang mampu menyediakan sel-sel kecil yang boleh disesuaikan dan sistem dalam bangunan terkemuka, termasuk kesediaan operasinya yang seiring dengan visi bersama kami," ujarnya.
Pelancaran CAS luar di TRX itu adalah sebahagian daripada misi lebih luas EdgePoint untuk menyediakan rumusan bagi memacu sambungan dan memajukan pendigitalan Malaysia.
EdgePoint akan terus meneroka peluang untuk mengembangkan penggunaan teknologi serupa di kawasan strategik lain di rantau ini. - DagangNews.com