Eksesais Naga Emas pamer kerjasama TLDM-MISC dalam krisis keselamatan maritim | DagangNews Skip to main content

Eksesais Naga Emas pamer kerjasama TLDM-MISC dalam krisis keselamatan maritim

Eksesais Naga Emas dilaksanakan mengikut senario sebenar ancaman jenayah keganasan maritim.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kerjasama dalam keselamatan maritim antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan MISC Berhad diterjemahkan menerusi Eksesais Naga Emas siri 70/24 di sekitar perairan Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor.

 

Ia melibatkan Pasukan Khas Laut (Paskal) bersama Skuadron 502 dan kapal latihan KD Gagah Samudera.

 

TLDM dalam kenyataan memaklumkan, latihan ini telah bermula pada 14 Oktober melibatkan seramai 11 orang pegawai dan 56 anggota.

 

Menurut kenyataan itu, latihan ini dirancang dan telah dilaksanakan mengikut tiga fasa iaitu Force Integration Training (FIT), Table Top Exercise (TTX) dan Full Mission Profile (FMP).

 

Kapal

 

Kapal

 

“Paskal, Skuadron 502 dan KD Gagah Samudera telah melaksanakan Full Mission Profile iaitu fasa terakhir Eksesais Naga Emas siri 70/24 di Tg. Lompat, Johor.

 

“Eksesais Naga Emas merupakan siri eksesais di peringkat taktikal yang dirancang untuk menguji kesiagaan dan keupayaan Tim Penggempur Paskal dalam melawan keganasan maritim terhadap kapal-kapal yang diselia oleh MISC Berhad. 

 

“Eksesais ini juga bertujuan menguji kesiagaan Group Health Security Environment pihak MISC dalam pengurusan krisis,” ujar kenyataan tersebut.

 

Latihan bersama TLDM melibatkan MISC Berhad ini telah membuktikan kemampuan Paskal dalam melaksanakan operasi anti rampasan kapal dagang dan menyelamat tebusan. 

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal

 

Pelaksanaan latihan ini juga memperkukuhkan lagi kerjasama antara TLDM dan MISC Berhad.

 

Imbas kembali, Eksesais Naga Emas bermula pada 1987 melalui rangka kerjasama TLDM dan MISC Berhad.

 

Melalui kerjasama tersebut, MISC Berhad menyediakan sebuah kapal sasaran yang dijadikan sebagai platform untuk latihan melawan keganasan maritim. 

 

Senario latihan pula dirangka mirip insiden sebenar bagi menguji dan mempertingkatkan kecekapan TLDM khususnya Tim Penggempur PASKAL dalam melawan jenayah keganasan maritim.

 

Kapal

 

Dalam situasi sebenar, TLDM dan MISC telah berjaya menangani krisis jenayah maritim semasa Operasi Fajar pada 2008 yang berjaya membebaskan 2 buah kapal milik MISC iaitu MV Bunga Melati 2 dan MV Bunga Melati 5 setelah dirampas lanun Somalia di Teluk Aden.  - DagangNews.com