EPIC raih kontrak 5 tahun daripada Petronas, sediakan perkhidmatan penyelenggaraan luar pesisir | DagangNews Skip to main content

EPIC raih kontrak 5 tahun daripada Petronas, sediakan perkhidmatan penyelenggaraan luar pesisir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Bhd) menerusi EPIC OG Sdn Bhd peroleh kontrak lima tahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian (MCM) dan sambungan dan pentauliahan (HUC) Pan-Malaysia untuk Pakej A2.

 

Kumpulan itu berkata, pencapaian itu menjadikan EPIC OG sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai, mengukuhkan peranannya dalam menyokong kebolehpercayaan aset dan kecekapan operasi Petronas Carigali di seluruh Semenanjung Malaysia untuk memenuhi permintaan tenaga semasa dan masa hadapan.

 

Katanya, kontrak itu ditetapkan sehingga September 2029, dengan pilihan untuk lanjutan tiga tahun, diikuti dengan penggal dua tahun berikutnya, meletakkan kumpulan itu untuk pertumbuhan berterusan dan kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Muhtar Suhaili berkata, pihaknya berbangga kerana menerima kontrak daripada Petronas Carigali dan ia sekali gus mengukuhkan komitmen pihaknya untuk menyampaikan perkhidmatan peringkat teratas dalam sektor minyak dan gas.

 

"Pencapaian itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam industri tenaga Malaysia tetapi juga sejajar dengan matlamat kami untuk pertumbuhan mampan dan perkongsian jangka panjang untuk menyokong keperluan tenaga negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

EPIC OG mempunyai rekod prestasi yang terbukti berjaya dalam menguruskan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar dan kompleks.

 

Syarikat itu sebelum ini meraih kontrak Pan Malaysia MCM untuk Pakej B2 daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc bernilai RM500 juta bemula  17 Julai 2018 dan berakhir pada 31 Disember 2024.


Sebagai tambahan kepada kontrak utama ini, kupulan baru-baru ini telah dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran Petronas di bawah Peruntukan Panel Kontraktor untuk Kerja-kerja Pembinaan dan Pengubahsuaian (CMW).

 

Kontrak tiga tahun itu, dengan potensi lanjutan satu tahun dan satu tahun lagi selepas itu, meliputi kawasan Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan Malaysia.

 

Pelantikan itu seterusnya menunjukkan keupayaan syarikat untuk menguruskan projek bernilai tinggi itu dengan cekap merentasi pelbagai operasi serantau.

 

Dengan kemenangan kontrak baru-baru ini, kumpulan tu bersedia mengukuhkan lagi kehadirannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkukuh keselamatan tenaga negara. - DagangNews.com