KUALA LUMPUR 22 Nov - FGV Bhd (FGV) yang kini terlibat dalam saman berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian bekalan isirong tandan sawit, diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengemukakan kenyataan pembelaannya sebelum 4 Disember 2024.
Writ saman yang difailkan oleh South Asian International Distribution Sdn Bhd (SAID) menuntut ganti rugi berjumlah RM90.84 juta bagi kerugian yang didakwa ditanggung akibat pelanggaran tersebut.
Anak syarikat tidak langsung FGV, FGV Bulkers Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai defendan, telah melantik Tetuan Zul Rafique & Partners untuk mewakili syarikat dalam perkara itu.
FGV Bulkers melalui peguamnya telah memfailkan Memorandum Kehadiran pada 15 November 2024, menurut pemfailan Bursa FGV pada Khamis.
Mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh penting, di mana SAID perlu membalas pembelaan tersebut sebelum 18 Disember 2024, dan tarikh akhir untuk sebarang permohonan interlokutori adalah pada 2 Januari 2025.
Satu pendengaran pengurusan kes untuk arahan praperbicaraan dijadualkan pada 13 Januari 2025.
Apabila litigasi tersebut diumumkan oleh FGV pada 7 November, syarikat itu menyatakan ia tidak menjangkakan sebarang impak operasi dan kewangan yang ketara kepada FGV Bulkers dan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Saham FGV ditutup tidak berubah pada RM1.14 pada Khamis, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM4.16 bilion.
Sehingga kini, saham tersebut telah jatuh sebanyak 17%. - DagangNews.com