F&N mahu selaraskan operasi, makanan berbungkus halal dan tenusu pacu pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

F&N mahu selaraskan operasi, makanan berbungkus halal dan tenusu pacu pertumbuhan

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merancang untuk menyelaraskan operasi bagi memacu pertumbuhan pendapatan kasar dan keuntungan bersih kumpulan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&N Lim Yew Hoe berkata, F&N juga akan membangunkan produk makanan berbungkus halal dan tenusu sebagai tonggak pertumbuhan kumpulan pada pertengahan penggal 2025.

 

"Usaha berterusan kami untuk mewujudkan sinergi dalam kumpulan, termasuk memperkemaskan dan menyeragamkan operasi berikutan pemerolehan Sri Nona dan Cocoaland pada FY2022, telah meningkatkan margin keuntungan. 

 

"Selain daripada produk, kami juga berhasrat untuk menjadi peneraju pemikiran dalam ruang halal, bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Halal Development Corporation Berhad (HDC) bagi meningkatkan kesedaran tentang kualiti dan kepelbagaian tawaran halal kami,” katanya semasa ucaptama beliau di Mesyuarat Agung Tahunan ke-63, hari ini. 

 

Lim menekankan fokus kumpulan iaitu inisiatif pertumbuhan dalam pertanian dan perniagaan tradisionalnya. 

 

“Kami tetap komited untuk melabur dalam perniagaan teras kami sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang. 

 

Selain daripada kilang pembuatan tenusu baharu kami di Zon Ekonomi Khas Suvannaphum di Kemboja, kami juga menyediakan  perbelanjaan modal baharu yang lain bagi melengkapkan operasi sedia ada dan memperoleh nilai masa hadapan. 

 

F&N
Pengerusi F&N (tengah), Tengku Syed Badarudin Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif F&N(ketujuh dari kiri), Lim Yew Hoe bersama ahli lembaga pengarah di Mesyuarat Agung Tahunan ke-63 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby.

 

Beliau berkata, pembelanjaan kumpulan tertumpu kepada saluran minuman berkarbonat dan air minuman baharu di Butterworth, serta barisan pengisian dan pembungkusan susu steril baharu di Pulau Indah. 

 

Selain itu, dalam menangani peningkatan kos tenaga dan gaji, Lim memberi jaminan kepada pemegang saham bahawa kumpulan mempunyai pelan strategik bagi menguruskan kenaikan ini. 

 

“Kami meramal margin kekal ketat berikutan penarikan balik rebat cukai di Thailand dan kos permulaan yang lebih tinggi untuk AgriValley pada 2025. 

 

"Walaubagaimanapun, kami yakin dapat menampung perbelanjaan tambahan dengan mengoptimumkan aset dan kecekapan operasi kami di Malaysia dan Thailand, sambil kekal berwaspada dan responsif terhadap peralihan pasaran, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan makroekonomi. 

 

"Potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi boleh mengoptimumkan rangkaian bekalan kami bagi meningkatkan kecekapan dan memacu inovasi untuk mengekalkan pertumbuhan dalam landskap yang semakin kompetitif,” katanya. 

 

Sementara itu, pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan itu telah meluluskan dividen akhir berperingkat tunggal sebanyak 33 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2024, menjadikan jumlah keseluruhan RM231.1 juta.

 

Pemegang saham memutuskan dividen akhir berjumlah kira-kira RM121.0 juta dijadualkan dibayar pada 10 Februari 2025. - DagangNews.com