KUALA LUMPUR 9 Jan - Yinson Production mengumumkan, kapal penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) Atlanta telah mencapai pengeluaran minyak pertama pada 31 Disember 2024.
Ia susulan ujian selama 72 jam dan Penerimaan Akhir telah diperoleh daripada Brava Energia, yang menerima penghantaran FPSO Atlanta.
Ini menandakan permulaan sewaan tetap projek tersebut, dengan kadar sewaan harian yang dipersetujui akan dibayar kepada Yinson Production selama tempoh 15 tahun, sehingga 2039.
Projek berkenaan juga merekod pencapaian keselamatan yang mengagumkan iaitu 9.8 juta jam pekerja tanpa insiden masa hilang.
FPSO Atlanta merupakan aset ketiga dalam armada Yinson Production yang beroperasi di Brazil selepas penghantaran FPSO Maria Quiteria pada Oktober 2024 dan FPSO Anna Nery pada Mei 2023.
Aset itu telah diserahkan kepada Brava Energia, yang dahulunya dikenali sebagai Enauta Energia S.A., satu daripada pengeluar minyak dan gas bebas terbesar di Amerika Latin.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Grønnegaard berkata, pihaknya berbangga dapat mencapai pengeluaran minyak pertama dengan FPSO Atlanta, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama dengan Brava Energia.
"Kejayaan ini menunjukkan komitmen kami dalam melaksanakan operasi sambil mengutamakan kelestarian dan keselamatan.
"Dedikasi dan kepakaran pasukan kami telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek ini dan kami akan komited sepanjang 15 tahun tempoh sewaan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Brava Energia, Décio Oddone pula berkata, minyak pertama dari FPSO Atlanta adalah pencapaian yang penting untuk syarikatnya.
"Kami telah bekerja keras untuk mencapai saat ini. Brava Energia adalah satu-satunya syarikat bebas di negara ini yang membangunkan sistem pengeluaran air dalam yang baharu.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha dan dedikasi pasukan kami sepanjang tahun," ujarnya.
Pengurus Projek Yinson Production, Scott Bendiksen berkata, penghantaran berjaya FPSO Atlanta adalah bukti semangat kerjasama dan ketahanan pasukan serta kontraktor terlibat.
"Kami berjaya mencapai rekod keselamatan yang mengagumkan dan melaksanakan rumusan pengurangan karbon yang berdaya cipta, sekali gus memperlihatkan tanggungjawab kami.
"Kami teruja untuk terus menyokong pertumbuhan Brava Energia di pasaran Brazil," jelasnya.
FPSO Atlanta adalah projek pembangunan semula yang dianugerahkan kepada Yinson Production oleh Brava Energia pada 21 Februari 2022 sebagai projek reka bentuk, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI).
Pada Julai 2023, Yinson Production membeli FPSO Atlanta menerusi kontrak 15 tahun tetap dan pilihan lima tahun untuk pembekalan serta operasi dan penyelenggaraan dengan jumlah nilai kontrak sehingga RM8.92 bilion.
FPSO Atlanta akan beroperasi di Teluk Santos luar pesisir Brazil dan mempunyai kapasiti pengeluaran 50,000 tong minyak sehari serta kapasiti simpanan maksimum 1.2 juta tong.
Kapal tersebut dilengkapi dengan sistem pengurusan karbon yang cekap, menggunakan gas bahan api untuk pengisian tangki kargo yang mampu mengurangkan pelepasan gas api melalui sistem flare tertutup.
Sistem pengurusan karbon itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Yinson Production untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan syarikat peneraju dalam usaha bebas karbon industri FPSO. - DagangNews.com