KUALA LUMPUR 1 Nov - Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd menerima kontrak bernilai RM451.4 juta daripada BCEI Malaysia Sdn Bhd bagi membina pusat data di Cyberjaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak itu akan meliputi kerja asas, sivil, struktur dan seni bina pusat data itu.
"Kerja-kerja dijangka bermula pada Disember 2024 dan dijangka siap pada suku pertama 2026.
"Kontrak bagi projek landasan pantas itu akan mula menyumbang dalam tahun kewangan kumpulan menjelang akhir 31 Julai 2025," katanya.
BCEI diperbadankan secara tempatan pada 2023 oleh Burr Computer Environments Inc, sebuah syarikat tersenarai dalam Fortune 500 yang khusus dalam perancangan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan teknologi maklumat. - DagangNews.com