Pelabur disaran terima tawaran saham RM11 MAHB, naik 18% daripada harga sebenar pada RM9.32 - MIDF  | DagangNews Skip to main content

Pelabur disaran terima tawaran saham RM11 MAHB, naik 18% daripada harga sebenar pada RM9.32 - MIDF 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan - MIDF Research menasihatkan pelabur menerima penawaran RM11 sesaham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)  ditawarkan oleh Gateway Development Alliance (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan syarikat pengendali lapangan terbang tersebut. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, tawaran harga saham itu mencerminkan premium 18% lebih tinggi daripada nilai saham sebenar iaitu RM9.32.

 

"Tawaran RM11.00 itu juga merupakan premium 125% berbanding nilai aset bersih terkini sebanyak RM4.89 sesaham (sehingga akhir 3QFY24).

 

"Berdasarkan harga saham ditutup harini, saham yang ditawarkan menilai 7.1 kali ganda daripada hasil yang dijangkakan pada FY24," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

GDA yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Rakan Infrastruktur Global (GIP) sudah memegang 70.1% di MAHB pada 6 Januari.

 

Selain itu, sejumlah 94.3 juta saham, mewakili 5.65% kepentingan, juga telah dipindahkan kepada penawar tetapi menunggu penerimaan dokumen penerimaan.

 

Termasuk bahagian ini, GDA secara berkesan telah memegang 75.73% daripada jumlah saham terbitan dalam MAHB. 

 

MIDF berkata, berikutan cadangan pelaburan dan perkembangan lapangan kapal terbang, pertumbuhan pendapatan MAHB mungkin mengambil masa lebih lama untuk direalisasikan dan kekal stabil.

 

Walaubagaimanapun, firma tersbut menjangkakan trafik penumpang udara MAHB kembali berpulih pada tahun ini. 

 

"Kami mengunjurkan kenaikan 4% berbanding dengan jumlah penumpang dicatat pada 2019.

 

"Risiko termasuk kelewatan pesawat AirAsia, potensi gangguan dalam penghantaran pesawat dan cabaran rantaian bekalan yang berterusan bakal menjejaskan prestasi MAHB," katanya.

 

Sementara itu, konsortium tersebut telah melanjutkan masa dan tarikh tutup untuk penerimaan tawaran pengambilalihannya kepada 5 petang pada 17 Januari 2025 daripada 8 Januari 2025, sebelum ini.

 

Selain tarikh tutup lanjutan, semua butiran lain, terma dan syarat tawaran pengambilalihan seperti yang dinyatakan dalam dokumen tawaran awal, termasuk harga tawaran RM11 sesaham, dan syarat penerimaan 90% daripada jumlah saham MAHB yang diterbitkan, kekal tidak berubah.- DagangNews.com