George Lee Lap Wah diumumkan sebagai pengerusi baharu kumpulan perbankan OCBC | DagangNews Skip to main content

George Lee Lap Wah diumumkan sebagai pengerusi baharu kumpulan perbankan OCBC

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 2 Okt - OCBC Bank (M) Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) melantik George Lee Lap Wah sebagai pengerusi, berkuat kuasa 1 Oktober 2024.

 

Beliau mengambil alih jawatan Tan Ngiap Joo, yang bersara daripada kedua-dua peranan pada 30 September lalu selepas sembilan tahun berkhidmat.

 

Sebelum pelantikan itu, Lee sudah pun menjadi ahli lembaga pengarah OCBC Bank sejak 1 September 2021.

 

Lee mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor perbankan, khususnya dalam pasaran Malaysia.

 

Beliau berkhidmat sebagai penasihat kepada ketua pegawai eksekutif dan jawatankuasa pengurusan OCBC Bank dari April 2016 hingga Julai 2017.

 

Sebelum memegang jawatan ini, beliau merupakan naib presiden eksekutif dan ketua perbankan korporat global di Oversea-Chinese Banking Corp Ltd (OCBC) dari Februari 2012 sehingga bersara pada April 2016.

 

Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai naib presiden eksekutif dan ketua perbankan pelaburan kumpulan di OCBC sejak 2002. - DagangNews.com