KUALA LUMPUR 3 Jan - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini, dengan purata AS$70 (RM313) setong berbanding AS$80 setong tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (Opec+) mungkin melonggarkan pemotongan pengeluaran.
Memetik laporan Tinjauan Tenaga Jangka Pendek Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat pada bulan November 2024, Maybank IB berkata, pengeluar OPEC+ mungkin merancang untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula pada April 2025.
“Bagaimanapun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh boleh menaikkan harga minyak mentah kerana kebimbangan terhadap gangguan bekalan, yang telah berlaku sebelum ini semasa krisis Rusia-Ukraine apabila harga minyak melonjak kira-kira 50% (daripada $80 kepada $120 setong bagi minyak mentah Brent).
Bagi Malaysia, Maybank IB berkata, perbelanjaan modal (capex) Petronas dijangka lebih rendah yang mendorong perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas huluan domestik (OGSE) menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros secara rasmi dilantik sebagai agregator gas tunggal Sarawak.
“Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini akan memberi kesan kepada nama OGSE dengan pendedahan dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta sambungan dan pentauliahan,” katanya.
Secara keseluruhannya, Maybank IB telah mengekalkan saranan positifnya terhadap sektor itu, dengan Dialog Group Bhd sebagai pilihan utamanya.
Selain itu, Maybank IB juga lebih menyukai pengendali penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) yang bersedia untuk menggunakan pelaburan modal bagi pertumbuhan selanjutnya serta menamakan Bumi Armada Bhd sebagai pilihan utamanya. - DagangNews.com