Harga minyak sawit mentah dijangka mereda menjelang akhir 2024 - BMI | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka mereda menjelang akhir 2024 - BMI

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Okt - Walaupun faktor pendorong optimis bagi harga minyak sawit mentah (MSM) mungkin kuat dalam jangka pendek, ia dijangka mereda menjelang akhir 2024, menurut BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions.

 

Ini berikutan potensi kesan positif daripada La Nina ke atas penanaman buah kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia, serta permintaan yang dijangka menurun pada suku keempat 2024 berikutan musim sejuk di utara dunia dan tarif import India.

 

BMI meramalkan harga purata minyak sawit pada RM3,850 setiap tan untuk 2024 dan RM3,650 setiap tan untuk 2025. 

 

Ini berbanding dengan niaga hadapan MSM yang disenaraikan di Bursa Malaysia, yang meningkat melebihi RM4,600 setiap tan kini, tertinggi dalam lebih dua tahun.

 

Pada bulan Oktober 2024 sahaja, harga minyak sawit meningkat sebanyak 14% ketika El Nino memberi kesan kepada bekalan eksport, ditambah dengan kebimbangan mengenai risiko geopolitik di Asia Barat, didorong penyusutan ringgit yang menguntungkan kontrak minyak sawit yang dinyatakan dalam ringgit, serta premium risiko yang tinggi di pasaran bahan bakar global, kata BMI.

 

“Namun, pada pandangan kami, faktor pendorong harga yang optimis adalah terhad, walaupun kekuatan harga yang berterusan dalam jangka pendek adalah mungkin, ia akan mereda menjelang akhir 2024," menurut BMI.

 

Namun begitu, badan penyelidikan tersebut memberi amaran tentang faktor seperti mandat B40 (keperluan biodiesel 40%) dan risiko geopolitik yang mungkin meningkatkan risiko ke arah positif.

 

“Waktu dan kadar pelaksanaan potensi B50 (biodiesel) adalah satu daripada risiko utama ke atas ramalan harga minyak sawit kami pada 2025,” tambahnya.

 

Pada akhir September 2024, inventori MSM di Malaysia berjumlah 1.06 juta tan berbanding 1.37 juta tan pada September 2023, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

 

Melihat ke hadapan, permintaan import minyak sawit dijangka mereda pada suku keempat 2024, dipacu oleh kemerosotan semasa musim sejuk Hemisfera Utara dan kesan daripada peningkatan tarif terbaharu India ke atas minyak mentah dan minyak masak yang ditapis. - DagangNews.com