Hextar Industries buka lima cawangan Luckin Coffee di Malaysia menjelang akhir Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries buka lima cawangan Luckin Coffee di Malaysia menjelang akhir Januari 2025

Gambar/FB Luckin Coffee Singapore
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jan - Hextar Industries Bhd (Hextar), melalui anak syarikatnya Global Aroma Sdn Bhd (GASB), akan membuka lima cawangan Luckin Coffee menjelang akhir bulan ini.

 

Hextar memaklumkan, rangkaian kafe kopi dari China itu akan membuka dua cawangan pertama pada 23 Januari 2025 di Sunway Pyramid dan Menara EcoWorld, Bukit Bintang City Centre.

 

"Tiga cawangan tambahan akan dibuka menjelang akhir bulan ini. Langkah ini membolehkan jenama Luckin Coffee mengumpul maklum balas berharga daripada pelanggan dan menambah baik perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu berkata, aplikasi Luckin Coffee juga akan dilancarkan pada tarikh sama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Global Aroma, Jeff Lim Chee Lip berkata, budaya kopi semakin berkembang pesat di Malaysia.

 

"Dengan harga yang berdaya saing dan pendekatan berasaskan teknologi oleh Luckin Coffee, kami yakin jenama ini akan mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan," katanya.

 

Pada November 2024, Global Aroma menjalin kerjasama strategik dengan Luckin Coffee Holding Singapore Pte Ltd untuk membawa jenama Luckin Coffee ke Malaysia.

 

Kerjasama itu memberikan GASB hak eksklusif untuk membangunkan, membuka dan mengendalikan kedai kopi di bawah jenama Luckin Coffee di seluruh negara.

 

Hextar Industries terlibat terutamanya dalam pengeluaran, penyediaan, pengedaran dan perdagangan baja, serta pembekalan dan pengedaran produk kuari dan mesin. - DagangNews.com