Honda Malaysia lancar model Civic `facelift' 2025, harga bermula RM133,900 | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia lancar model Civic `facelift' 2025, harga bermula RM133,900

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Jan - Honda Malaysia melancarkan Civic baharu, sedan segmen-C versi dipertingkat (facelift) pada harga bermula RM133,900.

 

Ia menawarkan teknologi canggih termasuk Google Built-In, kemas kini reka bentuk yang berani serta prestasi hibrid maju yang menggabungkan ciri-ciri serta reka bentuk dan kejuruteraan luar biasa Honda.

 

Empat pilihan varian yang ditawarkan untuk Honda Civic 2025 facelift adalah varian E bermula pada harga RM133,900, V (RM144,900), Petrol RS (RM149,900) dan e:HEV RS (RM167,900).

 

Ia didatangkan dengan lima pilihan warna termasuk satu warna baharu iaitu biru Canyon River Metallic selain kelabu, merah, putih dan hitam.

 

civic

 

Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 1,000 unit sebulan menerusi model berkenaan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, syarikat mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 81,600 unit pada tahun lalu.

 

Beliau berkata, pihaknya yakin pengenalan model baharu itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan Honda dalam pasaran.

 

civic

 

"Sejak pengenalan generasi ke-11 pada 2022, lebih 28,000 unit Civic sudah terjual di Malaysia, menjadikannya pilihan utama dalam segmen C bukan nasional selama lapan tahun berturut-turut dengan pegangan pasaran 81 peratus pada 2024," katanya dalam satu kenyataan.

 

Model facelift kali ini menyaksikan pembaharuan pada bahagian kemasan bampar hadapan, lampu belakang, selain panjangnya yang bertambah sebanyak 3 milimeter berbanding model sebelumnya.

 

Daripada segi reka bentuk, varian RS menampilkan gril hadapan hitam berkilat dan rim aloi Matte Grey 18 inci, sementara Petrol RS mempunyai gril depan berwarna hitam metalik untuk penampilan lebih sporty.

 

civic

 

Selain itu ia juga didatangkan dengan corak fabrik baharu dalam kabin, sistem infotainmen 9 inci dengan binaan dalam Google dan keterhubungan Apple CarPlay serta Android Auto ciri standard.

 

Kesemua varian dilengkapi dengan Honda SENSING, yang merangkumi sembilan ciri keselamatan canggih, serta Honda CONNECT untuk integrasi telefon pintar yang menawarkan kemudahan dan keselamatan tambahan.

 

Model itu hadir dengan dua varian RS daripada empat keseluruhan iaitu e:HEV RS dengan enjin hibrid 2.0L e:HEV dan Petrol RS dengan enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo yang turut sama ditawarkan pada dua lagi varian lain. - DagangNews.com