Hong Leong Asset Management lancar dana pendapatan ekuiti patuh syariah baharu | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Asset Management lancar dana pendapatan ekuiti patuh syariah baharu

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Nov - Hong Leong Asset Management Bhd (Hong Leong AM) mengumumkan pelancaran Hong Leong Dana Dividen, sebuah dana pendapatan ekuiti dan pertumbuhan yang mematuhi syariah, direka bagi memberikan peluang kepada pelabur untuk pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang tetap.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Asset Management, Chue Kwok Yan berkata, pihaknya teruja untuk menawarkan produk yang seiring dengan nilai-nilai pelabur sambil menyediakan potensi untuk pendapatan tetap dan pertumbuhan modal jangka panjang. 

 

Katanya, dengan memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang mematuhi prinsip syariah dan mengamalkan amalan perniagaan yang beretika, dana tersebut bertujuan memberikan manfaat kewangan dan sosial yang bertanggungjawab.

 

"Kami komited untuk menyokong pelabur dalam mencapai matlamat kewangan mereka dengan menyediakan akses kepada portfolio pelbagai ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang mematuhi syariah, dengan penekanan khusus pada syarikat yang mempunyai polisi pengagihan dividen yang baik atau berpotensi untuk mempunyai polisi pengagihan dividen yang baik dan lebih tinggi. 

 

"Ini bukan sahaja membolehkan pelabur mengembangkan modal mereka, tetapi juga mendapat manfaat daripada aliran pendapatan yang stabil," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Asset Management Sdn Bhd (Hong Leong Islamic AM), Noor Aini Shaik Awab berkata, sebagai pengurus dana luar untuk Hong Leong Dana Dividen, fokusnya adalah mengenal pasti syarikat yang diurus dengan baik dan mematuhi syariah dengan potensi pertumbuhan yang kukuh. 

 

"Pendekatan disiplin kami dalam mengurus portfolio yang mematuhi syariah membolehkan kami mencari pelaburan berkualiti yang sejalan dengan objektif pelaburan dana ini. 

 

"Dengan memilih syarikat yang mempunyai asas yang kuat dan amalan perniagaan yang etika, kami mahu memastikan dana ini menawarkan pulangan yang kompetitif dan kelestarian jangka panjang," ujarnya.

 

Noor Aini menambah, portfolio pelbagai yang ditawarkan menyebarkan risiko merentasi sektor dan aset yang berbeza, meningkatkan potensi untuk keuntungan yang stabil dan konsisten dari semasa ke semasa. 

 

"Komitmen kami adalah untuk memberikan pelabur strategi pelaburan yang seimbang dan berprinsip yang menyokong matlamat kewangan mereka, sambil mengekalkan integriti etika," jelas beliau.

 

Hong Leong Islamic AM dilantik sebagai pengurus dana luar untuk dana berkenaan yang diedarkan melalui pejabat Hong Leong AM dan jaringan agensi Hong Leong AM di seluruh negara, dengan harga RM0.5000 setiap unit semasa tempoh tawaran awal (IOP) sehingga 1 Disember 2024. 

 

Pelaburan awal minimum adalah RM1,000, manakala jumlah pelaburan tambahan minimum adalah RM100. 

 

Selain itu, dana itu juga diedarkan melalui portal dalam talian Hong Leong AM, HL iSmart Invest. - DagangNews.com