Hong Leong Bank lantik Jeffrey Yap sebagai Ketua Pengurusan Kekayaan Serantau | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank lantik Jeffrey Yap sebagai Ketua Pengurusan Kekayaan Serantau

Jeffrey Yap
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jan - Hong Leong Bank (HLB) mengumumkan pelantikan profesional pelaburan, Jeffrey Yap, sebagai Ketua Pengurusan Kekayaan Serantau, berkuat kuasa serta-merta. 

 

Pelantikan itu menegaskan komitmen HLB untuk mengukuhkan keupayaan pengurusan kekayaannya dan mengembangkan kehadiran di rantau ini.

 

Yap mempunyai lebih 28 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan global.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam, kepakaran dan kepimpinan Jeffrey akan membantu bank mengembangkan perniagaan dan meningkatkan tawaran di seluruh rangkaiannya.

 

"HLB komited untuk menjadi bank terbaik di Malaysia, dan strategi utama kami adalah menyediakan perkhidmatan pengurusan kekayaan yang luar biasa kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di HLB, Yap akan mengetuai strategi pengurusan kekayaan bank, memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan keuntungan yang mampan dengan mengembangkan perniagaan melalui rumusan menyeluruh, termasuk produk perbendaharaan, pelaburan serta perkhidmatan perbankan dan insurans.

 

Beliau juga akan memberi tumpuan kepada pembinaan segmen perbankan persendirian di Singapura dan Malaysia, memberikan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa dengan rumusan kekayaan yang disesuaikan untuk semua segmen pelanggan, serta mengetuai dan membangunkan pasukan kekayaan di seluruh geografi operasi HLB.

 

Yap dalam pada itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk mengetuai pasukan pengurusan kekayaan HLB.

 

"Kami mahu mentakrifkan semula pengurusan kekayaan dengan menyepadukan teknologi canggih bersama nasihat yang diperibadikan. 

 

"Ini memberi kuasa kepada pelanggan kami untuk mencapai matlamat kewangan mereka dan memastikan legasi mereka untuk generasi akan datang," ujarnya. - DagangNews.com