Hutang kerajaan meningkat 8.6% kepada RM1.173 trilion pada 2023 - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Hutang kerajaan meningkat 8.6% kepada RM1.173 trilion pada 2023 - Laporan Ketua Audit Negara

Gambar: Naim Aziz/DagangNews

KUALA LUMPUR 14 Okt - Hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 meningkat 8.6% atau RM92.92 billion kepada RM1.173 trillion berbanding RM1.08 trillion pada 2022.

 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, Hutang Persekutuan terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5% daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan manakala Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5%.

 

"Pinjaman Dalam Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM92.58 bilion (8.8%), manakala Hutang Luar Negeri meningkat sejumlah RM338 juta (1.1%).

 

 

"Hutang Persekutuan adalah hutang yang dibuat secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak termasuk hutang agensi atau syarikat kerajaan," kata laporan itu.

 

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 3/2024 itu, Hutang Kerajaan Persekutuan terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri, Pinjaman Luar Negeri dan Bantuan Luar Negeri.

 

"Komponen Pinjaman Dalam Negeri terdiri daripada Bil Perbendaharaan (Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 (Akta 188), Terbitan Pelaburan Kerajaan (Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), Sekuriti Kerajaan Malaysia (Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan Sukuk Perumahan (Akta Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan 1971 (Akta 42).

 

Pinjaman Luar Negeri terdiri daripada Pinjaman Pasaran dan Sukuk (Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 (Akta 403)," kata laporan itu.

 

Hutang Persekutuan yang berjumlah RM775.657 bilion (66.1%) akan matang dalam tempoh satu hingga 10 tahun, manakala sejumlah RM271.819 bilion (23.2%) akan matang dalam tempoh 11 hingga 20 tahun dan sejumlah RM125.034 bilion (10.7%) akan matang dalam tempoh 21 hingga 30 tahun.

 

Pada tahun 2023, had statutori hutang membabitkan Bil Perbendaharaan Islamik, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Sekuriti Kerajaan Malaysia yang berjumlah RM1.132 trilion adalah bersamaan dengan 62.1% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

 

Nisbah statutori hutang tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding tahun 2022 yang berada pada kedudukan 57.5 peratus kepada KDNK. 

 

Nisbah had statutori hutang kepada KDNK pada 2023 tidak melebihi 65% seperti yang dinyatakan dalam Perintah Pinjaman (Tempatan) (Had Statutori Pinjaman) dan Pendanaan Kerajaan (Had Statutori Wang Yang Diterima) 2022 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

 

Nisbah Hutang Persekutuan kepada KDNK pada 2023 adalah 64.3%, meningkat 4.1% berbanding tahun 2022 yang berada pada kedudukan 60.2%.

 

Bagi menambah baik pengurusan Hutang Persekutuan, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

 

Kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat, iaitu pengurangan defisit daripada 5.5% pada 2022 kepada 5.0% pada 2023. 

 

Pada 2024, defisit fiskal diunjurkan kepada 4.3% dan kurang daripada 3% untuk tahun-tahun berikutnya.

 

Bagi pengurusan hutang negara, langkah-langkah pengurangan hutang daripada 64.3% kepada KDNK pada 2023 sehingga mencapai 60% menjelang 2030. - DagangNews.com