KUALA LUMPUR 14 Nov - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa reformasi dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan Malaysia (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
IDEAS, sebuah institut penyelidikan yang mempromosikan rumusan kepada cabaran dasar awam, berkata demikian sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap amalan pelaburan GLC dan GLIC.
Institut itu mengesyorkan rangka kerja pembaharuan melibatkan lima perkara, dengan mengambil kira kepentingan menyatakan tujuan setiap GLC.
Katanya, perlindungan pemberi maklumat perlu ditingkatkan bagi menawarkan saluran selamat bagi mendedahkan salah laku serta memastikan parlimen berfungsi sebagai badan pengawasan utama.
"Untuk tujuan ini, IDEAS berkata Ahli Parlimen perlu memenuhi peranan mereka dalam Jawatankuasa Pemilihan Parlimen daripada menerima jawatan lembaga pengarah dalam GLIC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Langkah itu akan mengukuhkan pemisahan tadbir urus dan pengawasan, memperkasakan ahli Parlimen bagi memastikan GLIC bertanggungjawab kepada orang ramai, tambahnya.
Ia menyatakan, Parlimen mempunyai peranan penting untuk meneliti pematuhan GLC terhadap dasar, menyemak dasar tadbir urus dan mengukuhkan pengawasan.
Menerapkan piawaian itu dalam undang-undang akan menjamin ketelusan GLC, melindungi dana awam, dan memastikan GLC berkhidmat untuk kepentingan rakyat secara mampan, katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, adalah penting mereka (GLC) dikawal peraturan yang jelas, ditakrifkan dengan baik dan tertakluk kepada penelitian bebas, dengan perlindungan yang sewajarnya untuk pemberi maklumat.
“IDEAS tidak menyokong Kabinet atau Parlimen yang meluluskan keputusan pelaburan atau imbuhan GLC secara langsung, kerana ini mungkin memburukkan lagi campur tangan politik," katanya.
"Sebaliknya, kerajaan harus bertindak sebagai pemilik yang aktif, menetapkan dasar panduan untuk imbuhan lembaga dan piagam prestasi yang jelas,” kata Pengurus Penyelidikan Kanan di IDEAS, Alissa Rode. - DagangNews.com