KUALA LUMPUR 17 Okt - Institut Jantung Negara (IJN) mengalu-alukan keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengadakan dialog konstruktif mengenai cadangan semakan yuran bagi pesakit yang dirujuk oleh kementerian berkenaan.
Menurut hospital pakar tersebut dalam satu kenyataan, pihaknya menghargai keterbukaan kementerian untuk membincangkan perkara penting itu, yang mempengaruhi kesejahteraan ribuan pesakit jantung di Malaysia.
Jelas IJN, memandangkan peningkatan kos operasi dan hakikat bahawa struktur yuran semasanya tidak berubah sejak 2003, pihaknya mencadangkan penyesuaian yuran antara 10% hingga 40%.
Katanya, penyesuaian iu penting untuk memastikan IJN dapat terus menyediakan penjagaan jantung yang berkualiti dan mampu milik sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan yang maju.
"Matlamat kami adalah untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan kecekapan kos dan meneruskan misi kami untuk berkhidmat kepada masyarakat Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: IJN memohon kenaikan 10-40% yuran bayaran pesakit yang tidak berubah sejak 21 tahun lalu
"Kami optimis, hasil perbincangan dengan Kementerian Kesihatan akan memberi manfaat bersama, menjaga kemampuan perkhidmatan kami untuk orang awam, sambil membolehkan kami menampung kos yang meningkat dan terus meningkatkan kualiti penjagaan," ujar IJN dalam kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan itu, keutamaan IJN adalah kesihatan dan kesejahteraan pesakit jantung Malaysia, dan pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pesakit terus menerima penjagaan terbaik dengan kos yang adil.
IJN pada 10 Oktober lalu, memohon kenaikan 10-40% dalam yuran yang dikenakan terhadap pesakit yang dikemukakan oleh kementerian berkenaan berikutan inflasi dan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.
Struktur bayaran di hospital pakar itu tidak berubah sejak 21 tahun lalu.
Sebagai contoh, pembedahan pintasan mudah boleh menelan belanja kira-kira RM110,000-RM120,000 di hospital swasta ketika ini, berbanding sekitar RM40,000 hingga RM50,000 di IJN. - DagangNews.com