Indeks Kemampuan Kewangan dan Sosial menilai pemilikan rumah secara menyeluruh - CME | DagangNews Skip to main content

Indeks Kemampuan Kewangan dan Sosial menilai pemilikan rumah secara menyeluruh - CME

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Jan - Satu indeks baharu iaitu Indeks Kemampuan Kewangan dan Sosial diperkenalkan bagi menilai kemampuan pemilikan rumah secara lebih menyeluruh, melangkaui penilaian tradisional yang hanya mengambil kira faktor pendapatan dan harga. 

 

Pengenalan indeks tersebut dapat menangani kekurangan dalam pengukuran kemampuan pemilikan rumah yang sering mengabaikan faktor-faktor penting lain seperti kesalinghubungan serta saiz dan peluang pekerjaan, yang merupakan pemacu utama perubahan sosial.

 

Indeks yang dibangunkan oleh penyelidik dari Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Dr. Consilz Tan dan Dr. Carmelo Ferlito itu, turut dihuraikan dalam buku bertajuk Measuring Home Affordability: Challenges and Directions Forward. 

 

Menurut CME, Dr. Consilz Tan dan Dr. Carmelo memperkenalkan indeks baharu berkenaan yang menggabungkan kedua-dua faktor kuantitatif dan kualitatif. 

 

Faktor-faktor seperti peluang pekerjaan, lokasi, serta kesan terhadap kesalinghubungan dan kemudahan turut diambil kira dalam indeks itu.

 

"Elemen-elemen ini adalah penentu penting dalam usaha yang lebih besar untuk menangani kemampuan pemilikan rumah sebagai elemen penting dalam perjuangan menentang kemiskinan dan menyokong perubahan sosial," kata CME dalam satu kenyataan.

 

Konsep yang dikemukakan oleh dua penyelidik itu, turut memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kemampuan kewangan dan kemampuan sosial, yang membawa kepada penilaian semula tentang apa yang dianggap sebagai 'rumah berpatutan' berdasarkan lokasi dan akses kepada peluang pekerjaan serta sistem pengangkutan yang cekap.

 

CME menambah, kemampuan sosial berfungsi sebagai alat pengukur untuk menilai potensi peluang perubahan sosial, sambil memberikan gambaran lebih lengkap mengenai jaringan hubungan dan kebolehcapaian rumah dalam kalangan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Pada masa yang sama, CME berkata, konsep yang dikemukakan oleh kedua-dua penyelidik itu melihatkan keseimbangan antara kemampuan kewangan dan kemampuan sosial.

 

Ini bermakna, sebuah rumah yang dianggap 'berpatutan' berdasarkan hanya nisbah harga kepada pendapatan (PIR), mungkin dinilai semula sebagai lebih mahal apabila mengambil kira lokasi rumah tersebut dari segi peluang pekerjaan dan kesalinghubungan pengangkutan.

 

Sebaliknya, rumah yang kelihatan mahal mungkin dianggap lebih mampu milik jika ia terletak di lokasi yang baik.

 

Secara keseluruhannya, CME berkata, kemampuan kewangan hanya mengukur beban kewangan untuk memiliki rumah, namun kemampuan sosial memberi tumpuan kepada daya tarikannya meliputi sistem pengangkutan yang cekap dan ketersediaan peluang pekerjaan.

 

Tambah CME, kemampuan sosial berfungsi sebagai pengukur untuk menilai peluang perubahan sosial yang ada. - DagangNews.com