PUTRAJAYA 24 Okt - Inflasi Malaysia pada September 2024 meningkat lebih rendah kepada 1.8 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.6%) dan Filipina (1.9%). Manakala, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Republik Korea (1.6%), Thailand (0.6%) dan China (0.4%).
Peningkatan inflasi pada September 2024 telah didorong oleh peningkatan perlahan bagi kumpulan utama Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.1%).
Ini diikuti oleh Pengangkutan (1.1%); Minuman Alkohol & Tembakau (0.8%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6%) serta Maklumat & Komunikasi (0.4%) manakala, Pakaian & Kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata inflasi Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (2.1%) meningkat lebih tinggi pada September 2024 (Ogos 2024: 2.0%) disebabkan oleh peningkatan inflasi subkumpulan utama Perkhidmatan rekreasi pada 4.0 peratus (Ogos 2024: 2.8%).
Sementara itu, Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.1%); Makanan & Minuman (1.6%); Kesihatan (1.6%); Pendidikan (1.5%) dan Insurans & Perkhidmatan Kewangan (0.5%) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.
Kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada September 2024, kadar yang sama direkodkan pada Ogos 2024.
Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat 0.4 peratus (Ogos 2024: 0.3%) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan Daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus (Ogos 2024: -0.7%).
Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan Daging telah merekodkan kenaikan 1.3 peratus (Ogos 2024: -2.2%).
Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, purata harga Ayam standard Malaysia pada September 2024 adalah RM10.47 sekilogram berbanding RM10.01 sekilogram pada September 2023 (Ogos 2024: RM10.15).
Manakala, purata harga Ayam standard di peringkat Semenanjung Malaysia pada September 2024 adalah RM9.38 sekilogram berbanding RM9.28 sekilogram pada September 2023 (Ogos 2024: RM9.27).
Inflasi kelas perbelanjaan Sayur-sayuran mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.9 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 2.2%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi kelas perbelanjaan ini menurun kepada negatif 0.6 peratus (Ogos 2024: -1.0%). Antara sayur-sayuran yang merekodkan penurunan ketara adalah Tomato (-5.6%), Terung (-4.4%) dan Timun (-4.0%).
Di samping itu, subkumpulan utama Makanan di luar rumah menyederhana kepada 2.8 peratus berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya. Antara item yang mencatatkan kenaikan lebih rendah pada September 2024 ialah Nasi beriani, Nasi campur dan Nasi ayam.
Selain itu, inflasi Pengangkutan meningkat perlahan kepada 1.1 peratus pada September 2024 berbanding 1.3 peratus pada Ogos 2024.
Peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.4 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 1.8%).
Antara item yang merekodkan kenaikan lebih rendah ialah Diesel, 16.7 peratus (Ogos 2024: 21.0%). Pada September 2024, purata harga Diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM3.04 seliter berbanding RM2.15 seliter pada September 2023 (Ogos 2024: RM3.27). Manakala, purata harga Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Di samping itu, harga runcit Petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2024 menurun kepada RM3.28 seliter berbanding RM3.40 seliter pada September 2023 (Ogos 2024: RM3.47).
Inflasi peringkat negeri
Dr. Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus.
Walau bagaimanapun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.1%), Pahang (2.7%), Sarawak (2.3%) dan Selangor (2.3%).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi Makanan & Minuman kecuali Wilayah Persekutuan Labuan (-0.1%). Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 2.8 peratus, diikuti oleh Pahang (2.2%), Pulau Pinang (2.0%) dan Sarawak (1.6%).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 1.6 peratus pada September 2024.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2024 kekal tidak berubah berbanding Ogos 2024. Walaupun kumpulan utama Makanan & Minuman; Minuman Alkohol & Tembakau; Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 peratus pada September 2024.
Nnamun ia diimbangi dengan penurunan kumpulan Pengangkutan (-0.2%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%); Kesihatan (-0.1%) dan Maklumat & Komunikasi (-0.1%).
Inflasi bagi suku tahun ketiga 2024 kekal 1.9 peratus (ST2 2024: 1.9%). Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, inflasi Malaysia meningkat 0.4 peratus (ST2 2024: 0.6%).
Sementara itu, inflasi teras meningkat lebih rendah sebanyak 1.8 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 1.9%). Peningkatan ini didorong oleh kumpulan utama Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%); Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.1%) dan Makanan & Minuman (2.3%). - DagangNews.com