ISP ambil alih empat gudang bernilai RM188.5 juta | DagangNews Skip to main content

ISP ambil alih empat gudang bernilai RM188.5 juta

Gudang logistik dan hab pembuatan (LWMH) - Gambar hiasan dari lamn web rasmi ISP
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kumpulan Syarikat ISP memeterai perjanjian jual beli (SPA) untuk mengambil alih empat gudang dengan jumlah keluasan kasar lantai hampir 78967.59 meter persegi pada harga RM188.5 juta.

 

Syarikat hartanah yang pakar dalam segmen gudang logistik dan hab pembuatan (LWMH) serta penginapan pekerja khas (PBWA) berkata, pengambilalihan itu akan dibiayai oleh dana dalaman ISP dan pinjaman. 

 

"Pemgambilalihan ini melibatkan satu tapak pembangunan semula dan satu tapak sedia ada di Johor serta dua tapak di Selangor. 

 

"Kami ISP berhasrat untuk mengubah aset-aset ini menjadi gudang logistik dan hab pembuatan yang berorientasikan kelestarian bagi memenuhi permintaan terhadap kemudahan-kemudahan jenis ini di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Syarikat itu juga berkata, aset-aset tersebut akan mula disewakan atau dipajak menjelang suku pertama 2025.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd, Eric Ng menjangkakan permintaan sewa yang tinggi berikutan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan positif dalam industri utama termasuk semikonduktor, pembuatan, pusat data dan logistik. 

 

"Selain daripada peningkatan kadar sewa memandang kekurangan bekalan gudang Gred A dan hab pembuatan, kami juga percaya kos pembinaan yang lebih tinggi untuk kemudahan-kemudahan jenis ini pula menjadi antara halangan untuk menembusi pasaran,” katanya.

 

ISP
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn Bhd, Eric Ng

 

Beliau berkata, ISp akan memastikan setiap aset LWMH mempunyai infrastruktur yang terpelihara, bekalan elektrik dan air yang boleh dipercayai, rangkaian pengangkutan yang menyeluruh, serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan penting supaya penyewa dapat menjalankan operasi tanpa gangguan. 

 

Berikutan pemerolehan empat aset industri baharu ini, ISP kini mempunyai portfolio 8 aset LWMH dengan jumlah keluasan lantai kasar sebanyak 2.3 juta kaki persegi.

 

Sementara itu, Eric berkata, ISP bercadang untuk mengembangkan lagi portfolio dalam LWMH, dengan memberi tumpuan terutamanya kepada tanah perindustrian dan hartanah di Johor dan Lembah Klang. 

 

"Kami juga akan terus melabur dalam mempertingkatkan inovasi, menambah baik spesifikasi serta menggabungkan elemen kelestarian dalam aset-aset kami untuk memenuhi permintaan penyewa yang semakin berkembang,” katanya. - DagangNews.com