KUALA LUMPUR 17 Dis - Johor Corporation (JCorp) melalui cabang hartanah dan infrastrukturnya, JLand Group (JLG), secara rasmi menutup tirai Pameran Ibrahim International Business District (IIBD) Urban Lab yang berlangsung dari 22 November hingga 15 Disember lalu.
IIBD Urban Lab merupakan sebuah platform interaktif bagi pelabur dan masyarakat umum untuk melibatkan diri dan menyumbang idea kepada perancangan menyeluruh IIBD.
Terdapat pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang acara berlangsung termasuk sesi dialog dan aktiviti bersama komuniti seperti aktiviti Plogging dan JB Car Free Morning dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi JCorp, Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata, IIBD bukan sekadar sebuah projek, ia melambangkan komitmen Johor Bahru terhadap masa hadapan yang dibina berteraskan inovasi, kreativiti, tradisi, komuniti dan kelestarian.
"Pameran IIBD Urban Lab ini menjadi penanda aras dalam usaha untuk mengangkat Johor Bahru menjadi sebuah metropolis yang diiktiraf di peringkat global," katanya pada acara penutup pameran berkenaan.
Hadir sama pada acara itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han; Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Johor Bahru, Dato' Mohd Noorazam Dato' Osman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Asman Shah Abd. Rahman; Presiden & Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; dan Pengarah Divisyen Hartanah & Infrastruktur JCorp merangkap Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad.
Turut dilaksanakan pada acara tersebut adalah pelancaran rasmi video IIBD yang membawa naratif visual yang mengetengahkan kedudukan strategik IIBD dengan peluang ekonomi, kepelbagaian budaya dan kelestarian.
Meliputi kawasan seluas 97.12 hektar, IIBD terletak di pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia.
Perubahan daerah itu memberikan penekanan untuk mencapai visi sebagai Liveable and Loveable Hub yang akan menarik perniagaan serta pelabur daripada pelbagai sektor, termasuk syarikat pemula teknologi dan institusi penyelidikan.
Sebagai satu daripada komponen penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), potensi IIBD akan diperkukuh lagi dengan penyempurnaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) menjelang akhir tahun 2026.
Pada 24 Mac lalu, JLG mengumumkan poskod eksklusif 80888 bagi keseluruhan kawasan IIBD yang bakal dilaksanakan bermula Januari 2025.
Poskod unik tersebut akan menjadi satu kelainan dan mempromosikan IIBD sebagai destinasi unggul, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab ekonomi yang berkembang pesat. - DagangNews.com