Johor, Singapura kukuhkan hubungan ekonomi di sidang kemuncak pelaburan tahunan pertama   | DagangNews Skip to main content

Johor, Singapura kukuhkan hubungan ekonomi di sidang kemuncak pelaburan tahunan pertama  

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank, Nurjesmi Mohd Nashir; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Iskandar Investment Bhd, Dato’ Idzham Mohd Hashim; ,Pengarah Urusan, Ketua Pakar Ekonomi, Penyelidikan & Strategi Kumpulan, DBS Bank Singapura, Taimur Baig; Pengerusi, Affin Hwang Investment Bhd, Tunku Afwida Tunku A. Malek; Pengerusi Pusat Kelestarian Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov - Sidang Kemuncak Pelaburan Tahunan Johor (AJIS) yang diadakan baru-baru ini di Andaz Singapura menghimpunkan 100 pelabur, wakil kerajaan, penganalisis dan pemimpin industri bagi mengukuhkan sinergi ekonomi antara Johor dan Singapura, meningkatkan kesalinghubungan perdagangan dan peluang pelaburan rentas sempadan.

 

Program anjuran Johor Corporation (JCorp) dan ditaja oleh Kumpulan Affin dan DBS Bank itu diadakan menjelang perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal memacu integrasi serantau dan mewujudkan koridor dinamik perdagangan, pelaburan dan inovasi.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menekankan komitmen Johor menjadi destinasi pelaburan utama Asia Tenggara.

 

“Lokasi Johor yang strategik dan ekonomi dinamik menjadikannya rakan kongsi semula jadi bagi Singapura. 

 

"JS-SEZ mewakili komitmen kami untuk membentuk koridor ekonomi sedia masa hadapan yang memacu inovasi, memupuk perkongsian rentas sempadan, dan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai institusi pembangunan utama Johor, JCorp memainkan peranan strategik dalam mempercepatkan pertumbuhan negeri. 

 

Katanya, kumpulan itu sdang membina ekosistem yang mengutamakan inovasi, memupuk bakat berkemahiran dan memajukan industri bernilai tinggi untuk menetapkan asas kejayaan jangka panjang, memacu hasil yang memberi kesan untuk Johor dan Singapura.

 

Sidang kemuncak itu menampilkan panel dan sesi interaktif yang direka untuk menyediakan pelabur dengan pandangan yang mendalam dan perspektif dunia sebenar serta pembentangan dinamik selama 15 minit menampilkan syarikat yang mengemukakan projek utama dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), logistik dan hartanah.

 

Mewakili Kumpulan Affin, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank Berhad, Nurjesmi Mohd Nashir berkata, perkongsian dalam menganjurkan sidang kemuncak itu mencerminkan kepercayaan bank terhadap potensi Johor untuk mengubah landskap ekonomi Asia Tenggara.

 

"Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa melalui inisiatif seperti JS-SEZ dan kami berbangga untuk menyokong wawasan Johor," katanya.

 

Ketua Negara DBS Bank Singapura, Han Kwee Juan berkata, SEZ Johor-Singapura menghimpunkan kekuatan kedua-dua negara, Singapura sebagai hab kewangan global dan Johor yang kaya dengan sumber bakat.

 

"Di DBS, kami komited untuk menyokong visi ini, menggunakan kepakaran pembiayaan dan pandangan industri kami untuk memperkasakan perniagaan untuk berkembang bukan sahaja antara Johor dan Singapura, tetapi di seluruh rantau ini," kata beliau. - DagangNews.com